Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengeluaran bulanan KWSP secara mandatori sedang dimuktamadkan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Putrajaya sedang memuktamadkan butiran cadangan pengeluaran mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bulanan apabila mencapai umur persaraan sukarela 55 tahun, kata perdana menteri.

Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak mempunyai bantahan terhadap cadangan itu dan akan menyerahkannya kepada KWSP.

“Sekiranya kita mendengar kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Amir Hamzah Azizan sebelum ini, terdapat beberapa kekangan terutama dalam kalangan mereka yang mempunyai simpanan tidak mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2023 di Kuala Lumpur, hari ini.

Maklum balas Anwar itu hadir selepas KWSP tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan untuk membuat pengeluaran bersyarat atau berkala secara bulanan bagi pesara berumur 55 tahun ke atas wajib bagi pencarum baru pada masa hadapan.

Pindaan Akta Pencen

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya tentang implikasi kewangan kepada kerajaan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan pindaan Akta Pencen (Pindaan) 2013, Anwar berkata kerajaan akan menanganinya.

“Kita perlu menghormati keputusan mahkamah tetapi kita mempunyai mekanisme untuk melindungi pesara.

"Kita akan mengumumkan butiran (mengenai mekanisme itu) tidak lama lagi," katanya.

Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan kerajaan dan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam terhadap keputusan Mahkamah Rayuan untuk mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda terbatal dan tidak sah.

Ini bermakna pindaan undang-undang 2013 telah tidak sah dan versi lama undang-undang, yang mengandungi skim pelarasan pencen lama, akan dipulihkan.

Pencen pesara, mengikut skim lama, disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred itu.