‘Datuk Seri’ mohon kes rasuah RM15j berkaitan KDN digugurkan
Seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ memfailkan permohonan agar empat tuduhan rasuah terhadapnya digugurkan, dalam kes yang menyebut nama bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin.
Sim Choo Thiam memfailkan permohonan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dua hari lalu, agar dia dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap empat pertuduhan rasuah berjumlah RM15 juta.
Menurut salinan permohonan, Sim berkata empat pertuduhan itu bertentangan dengan Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) yang mewajibkan perincian seperti masa dan tempat kesalahan itu didakwa berlaku, dinyatakan.
Dia juga mendakwa penyiasatan kes pada masa ini tidak lengkap.
Pengurusan kes untuk permohonan itu yang, dibuat mengikut Seksyen 173(g) KTJ, dijadual pada 31 Julai ini.
Sim juga memfailkan satu lagi permohonan mengikut Seksyen 51A KTJ agar pendakwaan memberikan beberapa pernyataan bertulis yang berpihak kepada tertuduh.
Antaranya berkaitan dakwaan yang SPRM hanya merakam kenyataan Hamzah pada 10 Mei, selepas Sim didakwa pada hari yang sama.
Pad 10 Mei lalu, Sim, 63, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ke atas empat pertuduhan rasuah yang didakwa dilakukan antara Jun dan 30 Julai 2021.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu, sebagai dorongan untuk Hamzah, yang ketika itu menteri dalam negeri semasa pentadbiran Perikatan Nasional, untuk membantu Asia Coding Centre Sdn Bhd untuk mendapatkan sebarang projek daripada agensi di bawah kementerian berkenaan.
Sim dituduh meminta dan menerima rasuah daripada pengarah urusan Asia Coding Centre Hep Kim Hong, melalui Syed Abu Zhafran Syed Ahmad.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1, Kuala Lumpur.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, dengan Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum tidak melebihi 20 tahun, serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah rasuah yang terlibat atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika tertuduh didapati bersalah.
Dia dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin dan diarahkan supaya menyerahkan pasportnya serta melaporkan diri di ibu pejabat SPRM terdekat di Kuala Lumpur sebulan sekali.
Pada 11 Mei lalu, Hamzah yang juga adalah ketua pembangkang mendakwa tindakan mengaitkan namanya dalam empat pertuduhan rasuah dalam kes tersebut adalah sebagai muslihat politik yang bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya.
Mahkamah menetapkan perbicaraan penuh terhadap Sim akan dibuat selama 10 hari pada Mei tahun depan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai