Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN: Polis kenal pasti dua DUN di P Pinang berisiko jadi kawasan panas

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Polis telah mengenal pasti sekurang-kurangnya dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang yang berisiko menjadi kawasan panas (hotspot) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata polis akan memberi tumpuan kepada dua kawasan berkenaan, yakni DUN Permatang Pasir di Parlimen Permatang Pauh, dan DUN Bayan Lepas di Parlimen Balik Pulau.

Beliau berkata tumpuan di kawasan berkenaan akan dibuat berdasarkan kepada maklumat yang diperoleh pihaknya dari semasa ke semasa.

Sementara itu katanya 5,776 pegawai dan anggota polis dari kontinjen negeri dengan dibantu 663 petugas polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman serta kontijen lain, bertugas sepanjang PRN di negeri ini,

"Di Pulau Pinang terdapat 23 pusat penamaan calon iaitu 14 di bahagian pulau manakala sembilan lagi di Seberang Perai dan pihak polis akan memastikan proses PRN berjalan dengan lancar,'' katanya dalam sidang media di George Town hari ini.

Sementara itu Khaw berkata polis telah mengenal pasti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disyaki di sokong oleh kumpulan kongsi gelap, dipercayai boleh menimbulkan kegusaran awam semasa PRN Pulau Pinang, di samping menganggu perjalanan pilihan raya.

"Polis telah ada semua senarai data, kegiatan mereka, dan sekarang ini kita sedang memerhati serta menjalankan risikan supaya mereka tidak menjadi ‘orang tengah’ atau menimbulkan kacau bilau.

"Jika (ada) yang cuba bertindak sedemikian, kita akan ambil tindakan segera,” katanya.

- Bernama