Skip to main
Logo Malaysiakini

PKR dapat 59 kerusi, sasaran di negeri-negeri pantai barat

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PKR dijangka bertanding di 59 kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.

Bagi kerusi-kerusi di Kelantan dan Terengganu, parti itu akan melancarkan jentera pilihan rayanya secara serentak pada 8.30 malam ini. Esok, jentera pilihan raya parti akan dilancarkan di Kedah dan Pulau Pinang, manakala pada Ahad untuk kerusi-kerusi di Selangor dan Negeri Sembilan.

Berdasarkan susunan acara, PKR akan meletakkan tujuh calon di Kelantan, tiga di Terengganu, 10 di Kedah, 13 di Pulau Pinang, enam di Negeri Sembilan, dan 20 di Selangor.

Di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, peruntukan kerusi yang dirancang menunjukkan bahawa tumpuan utama PKR adalah untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi daripada memenangi lebih banyak kerusi.

Selangor

Bagi Selangor, PKR akan mempertahankan 20 kerusi yang dimenanginya pada 2018 - termasuk DUN Bukit Antarabangsa dan Gombak Setia, yang penyandangnya berpaling tadah semasa Langkah Sheraton pada 2020.

Menariknya, senarai itu membayangkan bahawa PKR mungkin melepaskan kerusi DUN Kota Damansara yang dimenanginya.

PKR juga dipercayai tidak akan bertanding di DUN Sungai Air Tawar pada pilihan raya ini, kerusi yang dimenangi oleh BN pada pilihan raya negeri sebelum ini.

Negeri Sembilan

Di Negeri Sembilan, PKR dijangka hanya bertanding di enam kerusi yang dimenanginya pada 2018.

Ia akan memberi laluan di enam kerusi lain yang ditandingi sebelum ini tetapi dimenangi oleh BN, termasuk DUN Sungai Lui, Kota, dan Gemas.

Pulau Pinang

Di Pulau Pinang, PKR juga akan mempertahankan 13 kerusi yang dimenanginya pada 2018 - termasuk DUN Seberang Jaya - yang penyandangnya berpaling tadah ke  Bersatu pada 2020.

Bagaimanapun, PKR difahamkan akan memberi laluan di DUN Sungai Acheh - kerusi yang dimenanginya pada 2018 tetapi penyandangnya juga berpaling tadah ke Bersatu pada 2020.

Kedah

Di Kedah, PKR mempertahankan tujuh daripada kerusi yang dimenanginya pada 2018, serta akan bertanding di sebuah lagi di kerusi iaitu DUN Bukit Pinang.

Parti itu juga dijangka turun di DUN Kuah dan Jitra - kerusi penyandang Mukhriz Mahathir - yang sebelum ini dimenangi di bawah tiket Bersatu yang adalah sekutu  Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri lalu.

Sementara itu, PKR dipercayai akan memberi laluan di DUN Pedu dan Kuala Ketil - kerusi yang dimenangi PAS pada 2018 dengan BN meraih jumlah undi kedua terbanyak, dan disusuli PKR.

Kelantan, Terengganu

Keputusan PKR untuk melepaskan kerusi yang ditandinginya tetapi berada di kedudukan di belakang BN lebih ketara di Kelantan dan Terengganu.

Adalah dipercayai calon PKR tidak akan diletakkan di mana-mana daripada 19 kerusi yang pernah ditandinginya sebelum ini di Kelantan (lapan) dan Terengganu (11).

Ini adalah kerusi yang sama ada dimenangi oleh BN menang atau Umno meraih undi yang lebih banyak daripada PKR pada 2018.

Bulan lalu, Pengerusi PKR Kelantan dan Terengganu Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan sebagai berkata, BN akan diberi keutamaan bertanding di kerusi-kerusi di kedua-dua negeri itu.

Bagaimanapun, PKR dijangka akan tetap bertanding di Pantai Timur pada pilihan raya negeri kali ini dan difahamkan tumpuan mereka kali ini adalah di kerusi-kerusi yang sebelum ini diperuntukkan kepada Amanah.

Ini termasuk DUN Panchor, Chetok, Pasir Tumboh, Limbongan, dan Mengkebang di Kelantan, dan Wakaf Mempelam, Manir, dan Sura di Terengganu.

PKR juga dijangka bertanding di dua kerusi DUN Kelantan yang ditandingi oleh Bersatu sebelum ini iaitu Pasir Pekan dan Kota Lama.

[Baca berita penuh]