Skip to main
Logo Malaysiakini

Serba Dinamik Group ingkar bayar kemudahan pembiayaan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Serba Dinamik Holdings Bhd (Serba Dinamik) berkata anak syarikat milik penuhnya, Serba Dinamik Group Bhd (SDGB) telah ingkar dalam membuat pembayaran balik bagi tiga kemudahan pembiayaan berjumlah RM435.41 juta.

Jumlah itu masing-masing merangkumi RM400.77 juta bagi pengaturan pembiayaan kelab disediakan oleh MBSB Bank Bhd dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (bank kelab); Pembiayaan-i Bertempoh Tawarruq RM34.41 juta oleh Affin Islamic Bank Bhd (Affin Bank) dan kira-kira RM228,568 bagi bemudahan bai’inah oleh Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank).

Dalam tiga makluman dengan Bursa Malaysia semalam, Serba Dinamik berkata keingkaran bayaran balik faedah bagi kemudahan dengan SME Bank telah diselesaikan sepenuhnya setakat 1 Jun 2023, manakala bagi menangani keingkaran dengan bank kelab dan Affin Bank, pelikuidasi SGDB telah menghubungi bank-bank tersebut untuk membincangkan penyelesaian yang bermanfaat untuk semua pihak terbabit.

Kumpulan itu berkata sekiranya berlaku keingkaran bayaran, Affin Bank merupakan pemberi gadaian pihak pertama membabitkan sebuah bangunan beralamat Menara Serba Dinamik di Shah Alam, Selangor.

“Bank kelab pula adalah pemberi gadaian pihak pertama bagi beberapa bidang tanah milik SGDB di Kota Tinggi, Johor.

“Keingkaran dalam membuat pembayaran itu akan meningkatkan beberapa kejadian lain yang berpotensi menyebabkan baki terhutang di bawah syarikat mengikut peruntukan keingkaran bersilang di bawah perjanjian pembiayaan masing-masing,” katanya.

Pada 1 Jan lalu Victor Saw Seng Kee dari PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn Bhd dilantik sebagai pelikuidasi Serba Dinamik, SDGB, Serba Dinamik Sdn Bhd dan Serba Dinamik International Ltd.

- Bernama