Usaha PN 'Kelantankan Selangor' langkah bahaya, kata BN
Sebagai orang Terengganu, kata bekas menteri Ahmad Shabery Cheek, dia tahu benar keperitan dan tertinggalkan pembangunan di Kelantan yang berjiran dengan negerinya.
Justeru kata Ahmad Shabery, adalah "berbahaya" buat ramai orang di Selangor - selain Pulau Pinang dan Negeri Sembilan - apabila PN bercita-cita menawan negeri tersebut.
Jelas Pengarah Komunikasi Strategik BN itu lagi impian sebenar PN dalam menghadapi pilihan raya negeri tidak lama lagi ialah 'mengkelantankan Selangor'.
“Saya ini orang Terengganu dan berjiran dengan Kelantan. Kedua-dua negeri itu diperintah oleh PAS.
"Jadi saya kata, jangan sama sekali bercita-cita untuk mengkelantankan Selangor.... bahaya!” katanya.
Bekas menteri penerangan itu berkata demikian ketika berucap pada majlis Jelajah Perpaduan Madani serta pelancaran jentera bersama BN-PH di Bangi, Selangor malam tadi.
Turut hadir Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Pengerusi Umno Selangor, Megat Zulkarnain Omardin.
Ia merupakan majlis pelancaran jentera bersama parti dalam kerajaan perpaduan bagi menghadapi PRN pad 12 Ogos ini.
Menurut Ahmad Shabery cubaan PN mengambil alih tiga negeri yang kini ditadbir oleh PH adalah berbahaya.
“Kita ada sejarah tersendiri (di Selangor) yang mana BN ada peranan memajukan negeri Selangor, dan kemudian PH juga menunjukkan kemampuan yang hebat memajukan negeri ini.
“Tetapi kali ini apabila ada parti yang bernama Perikatan Nasional (PN) kombinasi daripada Bersatu dan PAS (kononnya) nak mengubah Selangor dan mahu memajukan Selangor dengan lebih hebat," katanya.
PN boleh ‘pengsan’
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata sebagai pemimpin dari Terengganu dia faham benar masalah yang dialami kedua-dua negeri ditadbir PAS.
Tengoklah Kelantan, (isu) airnya pun tak selesai tapi ada hati untuk kata mereka boleh majukan Selangor lebih hebat.
“Orang Kelantan 'lari' meninggalkan tempat mereka, datang ke Selangor. Orang Terengganu (pun) datang ke Selangor (untuk bekerja).
“Macam mana kamu mengatakan mereka (PN) boleh membawa perubahan?
"Ubahlah Kelantan dahulu, ubahlah Terengganu dahulu. Jangan mimpi untuk bercakap kamu lebih baik daripada apa yang ada di Selangor ini,” katanya.
Justeru, ahli politik yang baru dilantik menjadi pengerusi Felda itu menyeru pengundi khususnya golongan muda agar mengetepikan PAS-PN apabila mereka mengundi pada bulan depan.
Hanya dengan cara itu katanya mereka boleh melihat negeri masing-masing menikmati kemajuan sama seperti apa yang dicapai rakyat di Selangor.
“Mari kita bersama untuk meniupkan semangat Selangor, kita beritahu rakan-rakan kita di Terengganu, Kelantan dan juga di Kedah: kalau nak maju lupakan PN.
"Mari kita Selangorkan Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Lambang kemajuan, kemakmuran, lambang (pentadbiran yang) memberikan pekerjaan kepada anak-anak muda bukan di Kelantan,” katanya.
Tambah Shabery, PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi amat penting namun berasa yakin kerajaan perpaduan yang ada sekarang mampu menambat sokongan pengundi.
“Kalau ada orang yang cuba untuk mengatakan bahawa PRN kali ini boleh menggugat kerajaan perpaduan, datanglah ke sini, mereka boleh 'pengsan' melihat kehadiran yang begitu ramai,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai