Skip to main
Logo Malaysiakini

Undi pos: VoteMalaysia gesa SPR kerjasama dengan kedutaan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Gerakan Vote Malaysia (UKE) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bekerjasama dengan kedutaan Malaysia di luar negara bagi memudahkan urusan undi pos.

VoteMalaysia yang diterajui sekumpulan anak muda dalam satu sidang media berkata langkah itu perlu bagi menyelesaikan isu melibatkan sistem pemprosesan undi pos ketika ini.

“Undi-undi itu harus dihantar (kepada pengundi) terus daripada kedutaan untuk mengelakkan masalah logistik dengan perkhidmatan kurier.

“Rakyat Malaysia juga harus dibenarkan menghantar kertas undi mereka kepada kedutaan dan bukannya pegawai pengurus bagi mengelakkan ketidakcukupan masa untuk menghantar semula kertas undi terbabit (ke Malaysia),” kata kumpulan itu semasa sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Proses undi pos di negara ini sering kali mendapat kritikan daripada pengundi luar khususnya serta badan bukan kerajaan (NGO).

Salah satu kebimbangan utama dalam proses terbabit adalah ketidakselarasan sistem kerana ramai pengundi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu mengadu hanya menerima kertas undi mereka sehari sebelum atau selepas hari pengundian.

Malah, ada yang menyatakan undi mereka dihantar ke negara berbeza atau pengundi yang berbeza hanya kerana mereka berkongsi nama yang sama.

Berikutan itu, VoteMalaysia ditubuhkan ekoran ketidakpuasan hati beberapa pertubuhan belia, seperti Undi18 yang berusaha membawa pulang undi pos daripada warganegara Malaysia yang berada di luar negara pada PRU15 lalu.

Pada waktu itu, VoteMalaysia berjaya membawa pulang 35,092 daripada 48,109 undi pos.

Pengasas dan Pengarah Advokasi Undi18, Tharma Pillai ketika itu berkata dia berharap inisiatif itu tidak lagi dilakukan pada pilihan raya akan datang.

Tambahan pula salah satu objektif utama pergerakan itu adalah untuk menggalakkan penambahbaikan dalam SPR.

Bagaimanapun, pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri hari ini berkata pergerakan itu sekali lagi akan menjadi sukarelawan pada pilihan raya negeri yang dijadualkan pada 12 Ogos ini

"Kami benar-benar berharap kami tidak perlu melakukannya (kumpul undi pos) lagi, tetapi kami tidak ada pilihan.

"Kami amat menghargai jika NGO dari setiap negeri dapat membantu kami pada pilihan raya negeri nanti,” tambahnya.

Dana untuk pengundi

Susulan sidang akhbar itu, VoteMalaysia menganjurkan forum untuk membincangkan cadangan bagi menambah baik sistem pengundian.

Tampil sebagai ahli panel ialah penyandang DUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaludin dan Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Turut hadir ialah bekas Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin dan Pengerusi Bersih, Thomas Fann.

Nolee, yang merupakan ahli Bersatu, membangkitkan isu kesukaran pengundi dari Sabah dan Sarawak untuk pulang mengundi kerana tiket penerbangan yang mahal.

"Lebih murah untuk pergi ke Singapura atau Thailand daripada terbang ke Malaysia Timur," tambahnya.

Nolee menegaskan pihaknya sebelum ini memberi insentif kepada pengundi untuk pulang ke tanah air. Bagaimanapun, katanya Bersatu sedar akan kesan negatif terhadap langkah tersebut.

Jamaliah yang senada dengan isu dibangkitkan Nolee turut menegaskan bahawa kerajaan harus menjadi pihak yang menyediakan insentif untuk pengundi agar mereka pulang mengundi.

Keempat-empat ahli panel terbabit turut menyatakan bahawa jika kerajaan tidak dapat mewujudkan dana sedemikian, pengundi harus dibenarkan mendaftar undi pos.

Tambah Fann, bukan sahaja sistem tersebut lebih tepat pada waktunya, malah pengundi juga tidak terbeban dari segi kewangan.

Selain itu, salah satu saranan yang dikemukakan pada forum berkenaan ialah SPR perlu melaksanakan sistem pengundian dalam talian.

Merujuk laman SPR yang sering mengalami masalah selepas parlimen dibubarkan, Nolee menggesa suruhanjaya itu mengkaji cadangan itu dengan lebih teliti.

“Apabila bercakap tentang pilihan raya, kita mesti meyakinkan orang ramai bahawa sistem (pengundian dalam talian) berfungsi dengan baik seperti yang diharapkan.

"Ia boleh disalahgunakan, atau jika berlaku apa-apa, SPR akan dipersalahkan," kata Nolee.