Skip to main
Logo Malaysiakini

Pindaan berkaitan kewarganegaraan: Tak kontroversi pun, kata PM

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tidak ada kontroversi dengan cadangan pindaan perlembagaan mengenai undang-undang kewarganegaraan.

Ini walaupun mendapat tentangan daripada masyarakat sivil, yang mengatakan pindaan itu akan menjejaskan kerakyatan yang diberikan kepada anak kelahiran Malaysia yang tidak mempunyai kewarganegaraan di tempat lain.

“Sebaik sahaja anda memperkenalkan pindaan, mungkin terdapat beberapa implikasi pada beberapa peruntukan lain.

“Tetapi secara umumnya konsensus adalah bahawa isu itu akan terhad kepada (perkataan) ibu bapa, (untuk) memasukkan (kata) ibu dan bapa.

"Saya tidak fikir ia isu kontroversi pun, saya tidak faham (perkara itu), ia dibuat lebih awal dan tidak sepatutnya menjadi isu walaupun kepada orang Melayu," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Anwar menghadiri Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa di Hotel Shangri-la di Kuala Lumpur hari ini.

Kerajaan sedang dalam proses meminda perlembagaan untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu Malaysia.

Bagaimanapun, terdapat sesetengah pihak yang membangkitkan isu mengenai peruntukan tambahan dalam pindaan itu, termasuk pemansuhan Seksyen 1(e) di bawah Perkara 14(1)(b) Perlembagaan.

Keputusan jemaah menteri

Seksyen 1(e) memberikan kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang kepada orang yang dilahirkan pada atau selepas Hari Malaysia “di dalam Persekutuan yang tidak dilahirkan sebagai warganegara mana-mana negara selain menurut kuasa perenggan ini”.

Awal tahun ini, kerajaan bersetuju memberikan kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman memaklumkan perkara itu pada satu kenyataan bersama pada 18 Februari lalu.

Keputusan dibuat pada mesyuarat Jemaah Menteri selepas meneliti dan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terhadap Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.

[Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan perdana menteri akan mempersembahkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu kepada Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat.

Ia bertujuan menyelesaikan isu kewarganegaraan anak bagi wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing, yang lahir di luar negara.

Dia berkata ia bertujuan membolehkan ibu warganegara Malaysia untuk mendapatkan hak seadilnya mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam satu dua hari ni (akan menghadap Majlis Raja-Raja).

“Undang-undang menyebut hak warganegara hanya kepada bapa, tidak termasuk ibu. Jadi kita nak masuk ibu bapa, kerana dalam Perlembagaan, tak adil hanya letak bapa dan tak masuk ibu. Itu sahaja yang nak dikemukakan,” katanya.

Menurut perdana menteri, cadangan pindaan itu seterusnya dijangka akan dibentangkan di Parlimen September ini.