Skip to main
Logo Malaysiakini

Kematian Beng Hock: Bicara kes semakan kehakiman pada 16 Okt

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah menetapkan 16 Okt untuk mendengar semakan kehakiman oleh ibu bapa Teoh Beng Hock supaya polis menyelesaikan siasatan lama ke atas kematiannya hampir 14 tahun lalu.

Mahkamah sivil menetapkan tarikh perbicaraan baru semasa pengurusan kes awal hari ini.

Pada mulanya, tarikh bicara ditetapkan pada 6 Jun namun Hakim Amarjeet Singh kemudian telah menarik diri daripada mendengar kes itu kerana sebelum ini dia pernah menjadi wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) yang terlibat dalam suruhanjaya siasatan diraja (RCI) terhadap kematian Beng Hock.

Selepas berkhidmat di Jabatan Peguam Negara, Amarjeet (gambar, bawah) telah dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2019 dan kemudian sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada tahun lepas.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam kanan persekutuan AGC Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mengesahkan tarikh baru yang ditetapkan oleh mahkamah untuk mendengar merit semakan kehakiman itu. Hanir mewakili pihak kerajaan dalam kes ini.

Peguam Sangeet Kaur Deo pula bertindak bagi pihak dua pemohon semakan kehakiman dalam kes itu iaitu bapa mendiang Teoh Leong Hwee dan ibu Teng Shuw Hoi.

Sangeet (gambar, bawah) turut mengesahkan tindakan undang-undang itu akan didengar melalui zoom di hadapan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada Okt 16.

Pada 16 Jun tahun lepas, mahkamah sivil memberi kebenaran kepada ibu bapa si mati untuk meneruskan semakan kehakiman.

Dalam afidavit menyokong permohonan semakan kehakiman itu, Teng antara lain berhujah bahawa polis gagal menyelesaikan siasatan terhadap kematian anaknya, di sebalik keputusan Mahkamah Rayuan 2014.

Dia mendakwa polis gagal menyelesaikan siasatan walaupun selepas perkara itu dibangkitkan

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009, di koridor perkhidmatan tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat semalaman di ibu pejabat SPRM Selangor di tingkat 14.

Pada masa kematiannya, Beng Hock ialah pembantu politik kepada exco Selangor dan Adun DAP Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Pada 2011, suruhanjaya siasatan diraja (RCI) memutuskan bahawa Teoh membunuh diri selepas disoal siasat secara agresif oleh SPRM.

Pada 2014, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan bahawa kematian Teoh disebabkan oleh perbuatan "orang atau individu yang tidak dikenali", termasuk pegawai SPRM yang menyoalnya semalaman sebelum dia ditemui mati.

[Baca berita asal]