Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesuruhjaya PAS Pahang dilantik Timbalan Pengerusi PAC negeri

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ahli dewan undangan negeri (Adun) Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Pahang, hari ini.

Rosli yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menerima surat lantikan daripada speaker DUN Pahang, Mohd Sharkar Shamsudin dalam satu majlis di Kuantan, petang tadi.

Selain Rosli, seorang lagi ADUN PAS, Mohd Tarmizi Yahaya turut dipilih sebagai anggota PAC.

Mohd Tarmizi adalah Ketua Penerangan PAS Pahang dan Adun Panching.

Adun Inderapura, Shafik Fauzan Sharif (Umno) pula dipilih sebagai Pengerusi PAC negeri, manakala dua lagi ahli PAC adalah Adun Padang Tengku (Umno), Mustapa Long dan Adun Sabai (MIC), V Arumugam.

Sementara itu, Mohd Tarmizi ketika dihubungi memberitahu, perbincangan awal sudah dilakukan selepas proses lantikan selesai petang tadi.

"Setakat ini belum ada apa-apa isu, cuma kita bincang penambahbaikan dari segi audit negeri, sistem kewangan syarikat dan badan berkanun serta PBT (pihak berkuasa tempatan) di negeri Pahang supaya lebih baik daripada sebelum ini," katanya.