Skip to main
Logo Malaysiakini

MCA, MIC sahkan takkan boikot PRN

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

MCA dan MIC menyangkal desas desus bahawa komponen BN itu akan memboikot enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Presiden MIC, M Saravanan berkata, MIC mengambil "semangat Cameron Highlands" apabila membuat keputusan untuk tidak menyertai PRN berkenaan.

"Kita mengambil kira pengagihan kerusi kepada BN, kerusi yang diperuntukan untuk BN, banding MIC dengan Umno...Umno lebih cerah (berpeluang) untuk menang,” katanya selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato On, Kuala Lumpur, malam ini.

Menurutnya apa yang penting ketika ini adalah kemenangan BN, bukan MIC atau MCA.

"Tak ada (boikot), buat apa nak boikot, kita berbincang dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai (rakan) BN," katanya selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato On, Kuala Lumpur, malam ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon menegaskan parti itu akan turun padang berkempen untuk calon BN dalam enam PRN nanti.

Katanya, MCA tidak akan sesekali memboikot PRN yang ditandingi BN.

"Mesyuarat berlangsung dengan baik, kita jelas akan membantu kempen calon BN. Kita jelas (keputusan tidak tanding), kedua-dua parti telah keluarkan kenyataan.

"Tak ada (sabotaj). Seperti mana yang saya katakan tadi kita akan kerja untuk memenangkan calon BN," katanya ketika ditemui.

Minggu lalu, MCA dan MIC membuat keputusan untuk tidak menyertai PRN yang bakal berlangsung pada Ogos depan.

Menurut Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon keputusan dicapai selepas perbincangan secara mendalam dan analisis, serta mengambil kira situasi politik semasa.

Dalam tempoh itu juga, kata Chong, MCA akan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi PRU ke-16.

Setiausaha Agung MIC RT Rajasekaran pula berkata keputusan untuk tidak menyertai PRN dicapai sebulat suara oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang bermesyuarat pada 30 Jun lalu.

Bagaimanapun, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menafikan dua komponen BN itu akan memboikot pilihan raya berkenaan.