Skip to main
Logo Malaysiakini

Rafizi ikrar tiada 'projek mi segera' untuk PRN

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengumumkan "projek mi segera" di mana-mana kawasan semasa pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Rafizi berkata arahan daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai pengumuman projek sedemikian adalah jelas dan tidak akan ada hal seumpamanya.

Bagaimanapun, Rafizi menegaskan bahawa kerajaan persekutuan perlu meneruskan dasar negaranya.

“Kerajaan perlu berjalan dan kerajaan perlu meneruskan dasar kita. Kita tidak tahu bila PRN akan diadakan.

“Sebagai contoh, kementerian saya, kita ada Majlis Tindakan Ekonomi Negara setiap bulan. Yang seterusnya pada majlis itu adalah mengenai (dasar) gaji progresif.

"Dan jika ada pengumuman mengenai gaji progresif, ia tiada kaitan dengan PRN, ia hanya dasar," katanya.

Dia bercakap di panel bertajuk “Hard Talk: The Economy — On Track or Sidetracked?” pada Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

Rafizi, yang juga timbalan presiden PKR, menegaskan tidak ada sebab untuk Putrajaya tidak meneruskan tugas untuk memastikan kerajaan terus berjalan.

“Terdapat kejelasan antara projek tangkap muat, projek yang bertujuan untuk pilihan raya dan itu tidak sepatutnya.

"Saya fikir kerajaan akan mengimbangi antara kedua-duanya," katanya.

Bulan lalu, kumpulan reformasi pilihan raya Bersih telah "mengingatkan" semua kerajaan negeri di enam negeri yang akan menghadapi pilihan raya tidak lama lagi, supaya tidak membuat sebarang keputusan besar atau mengumumkan sebarang projek.

Ketika berkata demikian, jawatankuasa pemandu Bersih berkata bahawa fungsi kerajaan sementara hanyalah untuk mengekalkan operasi asas sehingga kerajaan baharu mengangkat sumpah.

"Sebarang keputusan atau pengumuman sedemikian (mengenai projek) akan menjadi salah secara demokrasi dan meragukan dari segi undang-undang kerana mereka tidak mempunyai kuasa selain daripada menjaga.

“Pejabat setiausaha kerajaan negeri perlu mengeluarkan garis panduan kerajaan sementara, seperti yang telah dilakukan di peringkat persekutuan,” kata Bersih.