Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenaikan kos sara hidup tak dapat ditangani tanpa dasar gaji progresif - Rafizi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan tidak mungkin menangani kenaikan kos sara hidup tanpa terlebih dahulu memperkenalkan dasar gaji progresif, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

"Bahagian lain mengenai kos sara hidup ialah, sepanjang masa, kita selalu bercakap tentang apa yang boleh kita lakukan tentang harga tetapi ada perkara yang lebih penting, iaitu upah," tegasnya.

Rafizi bercakap pada forum bertajuk “Hard Talk: The Economy - On Track or Sidetracked?” pada Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

“Kita membentangkan kepada kerajaan kertas dasar untuk model gaji progresif pada awal Ogos.

"Dan ia adalah perkara paling tidak popular yang saya lakukan dalam tugas saya sebagai menteri," katanya secara berseloroh.

Selepas forum itu, Rafizi memberitahu pemberita bahawa kerajaan sekarang adalah yang pertama menyatakan komitmen untuk melaksanakan dasar mengenai gaji progresif.

“Kita memerlukan rangka kerja yang bertanggungjawab dan sumber kerajaan serta kerjasama dan penerimaan daripada majikan mengenai perkara ini. Ini adalah bagaimana kita boleh menyelesaikan isu kos sara hidup dengan lebih baik.

"Pada bulan Ogos, kita akan membincangkan dasar itu dan kemudian kita akan melihat mekanismenya, kita perlu berbincang dengan majikan dan kesatuan sekerja," katanya.

Kesan jangka panjang

Rafizi berkata adalah penting bagi rakyat memahami kesan jangka panjang subsidi yang diberikan dan keupayaan kerajaan untuk mengekalkan subsidi tersebut bagi mengurangkan lonjakan kos sara hidup.

“Mereka tidak sedar jika terlalu banyak unsur subsidi, ia mempunyai dua kesan. Pertama, kita alihkan wang daripada kerajaan semata-mata untuk mengawal harga barang tetapi ini sudah sampai ke tahap yang kita tidak mampu lagi.

“Apa yang kita ada ialah dasar yang terlalu mengawal. Kita perlu beralih daripada fasa subsidi ini,” katanya.

Pada Jun, Rafizi berkata kertas dasar mengenai Dasar Gaji Progresif akan dibentangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada Ogos.

Dia dilaporkan berkata, dasar yang dibangunkan oleh kementeriannya dan Kementerian Sumber Manusia itu bertujuan memastikan pertumbuhan gaji rakyat yang lebih inklusif dan didorong ke arah penjanaan pendapatan yang lebih baik.

Rafizi juga berkata tumpuan kepada pertumbuhan gaji rakyat akan menjadi tema utama dalam perancangan ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia akan datang, selain membantu menangani kos sara hidup rakyat.