Skip to main
Logo Malaysiakini

'Penswastaan kroni' warisan ekonomi Mahathir - Jomo

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pakar ekonomi terkemuka Jomo Kwame Sundaram hari ini merumuskan legasi ekonomi Dr Mahathir Mohamad, khususnya mengenai dasar penswastaan yang dipeloporinya semasa memegang jawatan perdana menteri.

Jomo mendakwa Mahathir mengambil dasar itu, yang 'disadur' daripada bekas perdana menteri Britain Margaret Thatcher, dengan tambahan cita rasa Malaysia, iaitu "penswastaan kroni."

Kenyataan Jomo pada Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa hari ini telah mengundang gelak tawa para hadirin namun dia tidak menjelaskan lanjut mengenai perkara itu.

"Kemudian dengan rekod liberalisme baru, dia memulakan suatu polisi, yang mentadbir dasar buruh murah," katanya.

Jomo bercakap pada forum bertajuk "Hard Talk: Ekonomi - Di Landasan atau Tergelincir?" pada Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa yang diadakan di Hotel Shangri-la di Kuala Lumpur hari ini.

Jomo kemudian mengajak hadirin mengenang tempoh pemerintahan Mahathir selama 22 tahun sebagai perdana menteri.

“Dia bermula, seperti yang diingati oleh beberapa orang yang lebih tua di sini, (melalui) perindustrian dengan Dasar Persyarikatan Malaysia dan sebagainya.

"Kira-kira setengah dekad kemudian,semua dasar ini diabaikannya," kata Jomo.

Dari 60 bank jadi 10 bank

“Kemudian semasa krisis kewangan pada 1997 dan 1998, kami mempunyai situasi baru.

“Beliau sangat prihatin untuk menumpukan kuasa kewangan di negara ini dari segi bank dan ia mengakibatkan pengurangan lebih 60 bank kepada kira-kira 10 bank sahaja,” kata Jomo lagi.

Mahathir mula-mula mengumumkan dasar penswastaan pada 1983, berkata ia selaras dengan Dasar Persyarikatan Malaysia dan berharap beban kewangan kerajaan dapat diringankan.

Pada awal 2000-an, dilaporkan bahawa kerajaan telah membelanjakan berbilion-bilion untuk mengambil alih semula beberapa projek yang diswastakan sebelum ini, termasuk Malaysia Airlines Berhad dan pemaju hartanah UEM Group.

Menjawab pengkritiknya pada masa itu, Mahathir, yang juga menteri kewangan sehingga peletakan jawatannya pada 2003, berulang kali mempertahankan dasar penswastaan sebagai pemangkin kepada pembangunan infrastruktur Malaysia.

Dalam temu bual bersama CNN Indonesia pada 2017, bekas perdana menteri dua kali itu terus mempertahankan dasar penswastaannya yang didakwa pengkritik telah mewujudkan budaya kapitalisme kroni dan melebarkan jurang pendapatan di Malaysia.

[Baca berita asal]