Skip to main
Logo Malaysiakini

PM: Amaran terakhir pada pelampau main isu 3R

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran terakhir kepada puak pelampau yang sengaja memainkan serta menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).

Malah, tegas Anwar, tidak ada pihak yang akan terkecuali daripada diambil tindakan undang-undang.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan terus memantau puak pelampau terbabit.

“SKMM dan PDRM tanpa pengecualian akan pantau semua, kalau pelampau itu orang Melayu atau berpangkat tinggi sekali pun atau dalam bahasa Mandarin atau Tamil itu bukan persoalannya.

“Kalau langgar peraturan dan undang-undang, mencabar perlembagan dan menyemai bibit-bibit perpecahan, konsensusnya bukan saja dalam kerajaan, dalam parti.

“Malah, dalam perbincangan dengan Raja-raja Melayu menggesa supaya negara ini diselamatkan dari kelompok-kelompok yang sangat terdesak untuk mempertahankan kuasa sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat dan menimbulkan huru-hara dan perpecahan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia di Menara Dato Onn WTC, Kuala Lumpur, malam ini.

Anwar yang juga pengerusi PH menjawab pertanyaan berhubung tindakan pihak-pihak tertentu yang mengeluarkan kenyataan menyentuh isu 3R.

Mengulas lanjut, Anwar berkata tindakan itu juga mengatasi kepentingan mana-mana pihak dan melibatkan soal keselamatan negara.

Kedudukan tinggi tak tercabar

“Saya selaku perdana menteri tidak pilihan kerana desakan daripada kalangan berfikir dan untuk pertahankan keselamatan negara ini mengatasi kepentingan.

“Ini kerana ada orang-orang tertentu yang merasakan kedudukan mereka itu terlalu tinggi dan hebat sehingga tidak mungkin terdakwa atau tercabar.

“Negara tidak boleh begitu, kita tak boleh pandang dan pilih kedudukan, pangkat, keturunan atau kekayaan. Kalau begini pandangannya ia akan merosakkan,” katanya.

Kata Anwar lagi, kerajaan memandang serius tindakan pelampau yang memainkan isu 3R.

“Negara tidak boleh bertahan dan stabil kalau dibiarkan unsur-unsur kecil ini yang sangat terdesak untuk membuat apa saja hanya untuk mempertahankan kuasa atau pun mencari pengaruh baru.

“Saya anggap keadaan ini sudah sampai agak serius kerana sudah puluhan tahun kita belum nampak dan lihat kenyataan-kenyataan yang melampau yang dibiarkan.

“Jadi, setakat ini cukup mesej saya. Maknanya, amaran terakhir dari kerajaan,” tegasnya.