Skip to main
Logo Malaysiakini

PH-BN sudah muktamad pembahagian kerusi, kata Anwar

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan parti-parti gabungan dalam kerajaan itu telah memuktamadkan pembahagian kerusi di enam negeri bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

“(Pembahagian kerusi) telah dimuktamadkan di semua negeri (cuma) ada satu dua negeri saja yang kita akan bincang dan malam ini akan selesai,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia di Menara Dato Onn WTC, Kuala Lumpur, malam ini.

Mengulas lanjut Anwar berkata calon yang bertanding juga dijangka akan diumum dalam tempoh terdekat.

“Calon akan diumumkan dalam dua tiga hari ini dan kita akan bagi tarikh,” katanya ringkas.

Sementara itu, Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid ketika mencelah berkata BN akan mengumumkan keputusan pembahagian kerusi bagi gabungan parti itu untuk PRN bagi enam negeri itu pada 21 Julai ini.

"Untuk BN, kita akan umumkan pada 21 haribulan (Julai), malam. Untuk seluruh enam negeri," ujarnya.

Ekoran itu, Anwar secara berseloroh berkata PH pula akan mengumumkan sehari lebih awal daripada BN.

"Kalau Barisan Nasional (BN) sebut (umum pembahagian kerusi) 21 Julai, saya ingat nak buat pada 20 Julai," kata disusuli tawa hadirin pada sidang media itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar juga berkata Jelajah Perpaduan Madani dan pelancaran jentera perpaduan akan diteruskan di Kedah pada 15 Julai diikuti Pulau Pinang (16 Julai), Kelantan (23 Julai), Negeri Sembilan (27 Julai) dan Terengganu (28 Julai).

Mesyuarat malam ini turut disertai Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah diadakan serentak pada 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala undi awal pada 8 Ogos dan penamaan calon pada 29 Julai.