Skip to main
Logo Malaysiakini

Amanah Selangor yakin pertahan sekurang-kurangnya 8 kerusi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Amanah Selangor mengesahkan akan bertanding di sembilan daripada 56 kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Pengerusinya Izham Hashim berkata parti itu akan mempertahankan DUN Sabak, Meru, Pandan Indah, Hulu Kelang, Morib, Seri Serdang, Sungai Ramal dan Taman Templer yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

“Satu lagi kerusi adalah di Hulu Bernam, kami tukar dengan BN manakala kerusi Jeram mereka (BN) ambil,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama Shah Alam semalam.

Mengulas mengenai calon, Izham berkata senarai itu akan dimuktamadkan hari ini oleh kepimpinan peringkat tertinggi Amanah.

“Jawatankuasa calon dah selesai pilih (calon), esok dibawa ke peringkat tertinggi untuk mengesahkan nama-nama yang dicalonkan. Kami akan umum setelah selesai kelak.

“Calon-calon yang dipilih haruslah mempunyai kriteria yang ditetapkan seperti kelulusan akademik, pengalaman dalam politik, boleh bekerja dan berjawatan dalam parti,” katanya.

Izham menambah, Amanah akan menampilkan kombinasi calon muka baru dan lama, anak muda serta wanita.

Tidak curi wang rakyat

Mengenai persediaan menghadapi saingan daripada PN, dia berkata Amanah Selangor percaya mereka mampu mempertahankan sekurang-kurangnya lapan kerusi pada 12 Ogos ini.

“Kami dah perintah Selangor tiga penggal, kita boleh lihat stabil, makmur dan sejahteranya Selangor ini. Tiada sebab pengundi mahu membuat pertukaran.

“Pencapaian (Selangor) bagus, kami ada rekod yang sangat baik, program untuk rakyat daripada berbelas-belas (sebelum ini) sekarang ada 46 program untuk rakyat.

"Selain itu, kami tidak terlibat dengan skandal atau kes korup, curi duit rakyat,” katanya.

Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari sebelum ini memaklumkan pembahagian kerusi antara PH dan BN selesai dengan lebih 20 peratus daripada 56 kerusi DUN akan diwakili BN manakala selebihnya akan ditandingi calon PH yang terdiri daripada parti PKR, DAP dan Amanah.

Pada PRU ke-14, PH mendominasi Selangor dengan memenangi 51 kerusi, diikuti BN dan PAS masing-masing mendapat empat dan satu kerusi.

Kedudukan semasa kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah PH mempunyai 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN lima, Bersatu empat, Parti Bangsa Malaysia dua manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat bebas.

Kerusi Batang Kali pula diisytiharkan kosong pada Feb lepas setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

- Bernama