Fahmi sokong cadangan akta baru tangani pihak mainkan isu 3R
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata dia menyokong cadangan kerajaan untuk melaksanakan undang-undang baru yang mengenakan hukuman kepada mereka yang memainkan sentimen 3R (kaum, agama dan raja).
“Saya mengalu-alukan cadangan itu.
“…Saya percaya ada ruang untuk kita melihat undang-undang semasa dan melihat apa yang boleh kita lakukan untuk tambah baik,” kata Fahmi (atas) kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Global Komunikasi, Budaya dan Media Kontemporari 2023 di Bangi hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mendedahkan bahawa akta baru itu serupa dengan Akta Penyelenggaraan Keharmonian Kaum Singapura, tetapi dalam konteks tempatan.
Pada masa ini, Azalina berkata sebarang kesalahan membabitkan isu 3R disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 yang mana perbuatan itu lebih menjurus kepada unsur kesalahan jenayah menyebabkan pendakwaan mengambil masa yang lama kerana prosedur undang-undang.
Dia berkata akta yang dicadangkan itu, yang mungkin dipanggil "Akta Negara dan Bangsa", telah dibentangkan kepada kabinet semalam dan mendapat maklum balas positif.
Sementara itu, Fahmi melahirkan rasa kecewa terhadap ahli politik tertentu yang terus mengeksploitasi sentimen 3R walaupun amaran dikeluarkan oleh raja-raja Melayu, perdana menteri dan polis.
Dia mencadangkan penubuhan unit khusus dalam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan polis untuk memantau mereka yang memainkan isu 3R.
Dalam perkembangan berasingan, Ketua Polis Negara Razarudin Hussain mendedahkan bahawa polis telah melancarkan siasatan terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung 3R.
Razarudin berkata Sanusi sedang disiasat kerana didakwa menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam memilih menteri besar negeri itu semasa ceramah baru-baru ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai