Skip to main
Logo Malaysiakini

Bukan niat Hadi nak sakiti hati - MP PAS minta maaf jika ada tersinggung

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menyedari kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang mungkin melukai perasaan orang bukan Islam, seorang pemimpin parti itu tampil memohon maaf jika ada yang tersinggung.

Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat bagaimanapun berkata dia percaya bukan niat Hadi untuk menyakitkan hati sesiapa dan presiden partinya itu hanya menyatakan fakta.

“Saya rasa (kenyataan itu) menyakitkan hati orang, terutamanya apabila mereka sudah mempunyai gambar dia tidak begitu mesra dengan orang bukan Islam.

"Untuk meletakkannya dalam konteks, mungkin dia mengatakannya secara fakta. Dia tidak bermaksud untuk menyakiti orang.

"Dia mengambil berat tentang semua orang dan saya boleh mengesahkan ini kerana saya telah melihatnya dalam keadaan berbeza," katanya pada wawancara bersama stesen radio BFM semalam.

"Saya perlu memohon maaf jika itu telah membuatkan orang bukan Melayu tidak berpuas hati dengannya tetapi saya rasa dia tidak bermaksud begitu."

Halimah ditanya mengenai kenyataan Hadi baru-baru ini, apabila dia berkata orang bukan Melayu harus bersyukur mereka diberi kerakyatan Malaysia, kerana tidak banyak negara akan menganugerahkan perkara yang sama.

Ahli parlimen PAS itu turut ditanya bagaimana kenyataan sebegitu, serta dakwaan Abdul Hadi bahawa bukan Melayu bertanggungjawab terhadap rasuah di negara ini, sepadan dengan dakwaan Halimah bahawa presiden PAS itu mengakui identiti Malaysia majmuk.

Dalam ulasannya yang diterbitkan lidah rasmi PAS, Harakah pada bulan lepas Abdul Hadi berkata:

"Oleh itu, sepatutnya kalangan bukan Islam itu menghargai sumbangan negara ini yang memberikan tempat kepada mereka.

“Bahkan, mereka wajib menerima hakikat bahawa kebanyakan negara di dunia tidak memberikan tempat kepada sesiapa yang bukan penduduk asal dan tidak menganut ideologi negaranya, namun sebaliknya Islam memberikan hak yang adil kepada penduduk bukan Islam yang tidak menganut Islam menjadi aqidah negara,” kata presiden PAS itu.

Perbandingan Melayu dengan Orang Asli Australia

Menjelaskan lebih lanjut, Halimah, yang berpendidikan di Australia, menarik perbezaan antara orang Melayu di Malaysia dengan Orang Asli Australia.

“Orang Asli adalah minoriti dan pendatang yang berhijrah membina kehidupan, berkembang dan makmur di sana adalah majoriti.

"Sedangkan di Malaysia, orang Melayu - kerana ia tanah Melayu, Malaysia adalah tanah Melayu - mereka masih majoriti dan pendatang yang berhijrah kemudian adalah minoriti," kata pakar perubatan kelahiran Sarawak itu.

Halimah berkata walaupun ramai orang bukan Melayu boleh menerima Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, namun allahyarham hanya mursyidul am PAS manakala Hadi menerajui kuasa eksekutif parti.

Ini, jelasnya walaupun ketika Allahyarham Nik Abdul Aziz masih hidup.

Bagaimanapun, Halimah mengakui Hadi mungkin kurang arif bergaul dengan bukan Melayu sebagaimana Allahyarham Nik Aziz.

Kata Halimah, biro perpaduan nasional PAS yang diketuainya membantu Abdul Hadi mengenai perbezaan budaya.

Menurutnya, biro itu membelikan Abdul Hadi beberapa pakaian tradisional etnik Cina untuk dipakai pada Tahun Baru Cina dan presiden PAS itu menerimanya tanpa sebarang tentangan.

"Saya telah melihat dia dalam kapasiti parti dan dalam kapasiti peribadinya semasa berehat atau semasa dia sakit, dan saya cuba menjelaskan...

“Ketidakselarasan tentang hubungannya dengan orang Islam atau bukan Islam.

"Saya perlu mengesahkan, dia pastinya sangat jujur," katanya.

'PAS lebih pentingkan ekonomi dari nak kawal keseronokan'

Sementara itu, Halimah berkata walaupun PAS dilihat sebagai "antikeseronokan" dan "anti hak individu", namun dia percaya sebahagian besar dakwaan itu berlebih-lebihan.

Halimah juga berkata PAS percaya ada ruang untuk bergembira tetapi ada cara untuk berbuat demikian tanpa mendatangkan bahaya dan gejala sosial.

Menurutnya, walaupun orang ramai menganggap perkara seperti konsert sebagai sangat penting, perkara ini bukanlah perkara yang paling dibimbangkan oleh PAS.

Parti itu lebih mementingkan perkara utama seperti tadbir urus yang baik, pembangunan belia dan kemajuan ekonomi.

Jelas Halimah lagi, jika PAS membantah apa-apa isu, maka ini kerana perlembagaannya terikat dengan al-Quran dan pasrti itu mesti mengikut apa yang dinyatakan dalam al-Quran.

“Beberapa perkara yang PAS terkenal (dengan imejnya) tidak semestinya keperluan rakyat. Mungkin kehendak tetapi bukan keperluan.

Mencegah ekstremisme

"Kami bergerak untuk keperluan asas. Kami mahukan kemakmuran, mempunyai negara yang diberkati, untuk menggembirakan orang ramai," katanya.

Halimah juga berkata bahawa bukan ciri sebenar PAS untuk memanggil dirinya konservatif.

Sebaliknya, parti itu berlandaskan asas-asas ajaran Islam.

"Mungkin tafsiran pemimpin Islam tertentu mungkin berbeza dengan PAS tetapi kita ikut asasnya," katanya.

Halimah memetik Hadi, yang berkata dalam arena politik, PAS berperanan untuk "mencegah ekstremisme".

"PAS bukan Isis, PAS bukan Daesh. PAS tidak mahu orang Islam di negara ini menjadi begitu.

“Sebenarnya PAS sangat sederhana," katanya.

[Baca berita asal]