PRN: Amanah Negeri Sembilan kekal tandingi tiga kerusi
Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan mengumumkan kekal bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan parti yang terkini.
Pengerusi Amanah negeri Datuk MK Ibrahim Abd Rahman berkata ia berdasarkan faktor penyandang yang telah memenangi DUN itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas iaitu DUN Klawang, DUN Lenggeng, dan DUN Paroi.
“Secara keseluruhan, Amanah Negeri Sembilan telah berjaya menjadi rakan politik terbaik dalam memastikan agenda Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan berjaya dilaksanakan dengan baik.
“Bagi persiapan menuju PRN, Amanah negeri telah memulakan langkah awal dengan melancarkan jentera pilihan raya bagi ketiga-tiga DUN yang akan ditandingi itu pada 12 Julai lepas oleh Presiden Datuk Seri Mohamad Sabu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Amanah negeri akan mengemukakan calon bagi tiga DUN itu dalam masa terdekat dengan menampilkan calon yang berkelayakan, berintegriti, dan mempunyai komitmen yang tinggi untuk memperjuangkan kepentingan rakyat.
Pada PRU14, Negeri Sembilan yang memiliki 36 kerusi menyaksikan PH menguasai 20 kerusi; DAP (11); PKR (6); Amanah (tiga); manakala BN 16 kerusi (UMNO 15) dan MIC (satu).
Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini mengumumkan PRN di Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian, dan hari penamaan calon pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai