Skip to main
Logo Malaysiakini

Infrastruktur, ketersambungan S'pura-Johor terus diperkukuh - JMCIM

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Infrastruktur dan ketersambungan rentas sempadan antara Singapura dan Johor akan terus diperkukuh.

Ketersambungan rentas sempadan merupakan antara agenda yang dibincangkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) ke-16 yang baru sahaja berakhir.

Mesyuarat yang diadakan di republik itu hari ini dipengerusikan bersama oleh Menteri Ekonomi Malaysia Rafizi Ramli dan Menteri Pembangunan Negara Singapura Desmond Lee.

JMCIM dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu berkata Kumpulan Kerja Hubungan Pengangkutan (TLWG) dan Kumpulan Kerja Imigresen (IWG) bekerjasama rapat untuk mengukuhkan infrastruktur dan ketersambungan melalui hubungan laut dan juga darat.

Menurutnya, agensi pengangkutan dan imigresen bekerjasama dengan pengendali bas rentas sempadan untuk meningkatkan kekerapan bas semasa tempoh puncak

"Ini telah mengurangkan masa menunggu bagi penumpang bas yang melintasi kedua-dua Tambak dan Laluan Kedua," katanya.

Bagi menambah baik ketersambungan jalan laut, Jawatankuasa itu berkata perkhidmatan feri baharu antara Singapura dan Tanjung Pengelih telah dilancarkan pada Disember 2022.

“Ini susulan permulaan perkhidmatan feri antara Singapura dan Desaru pada Julai 2022,” katanya sambil menambah kedua-dua perkhidmatan feri itu mendapat sambutan baik daripada penumpang Singapura dan Malaysia.

Bagi membina kerjasama yang baik dalam bidang ini, JMCIM berkata pengendali komersial di Singapura dan Malaysia akan memulakan perbincangan untuk menilai daya maju komersial potensi perkhidmatan feri baharu antara Puteri Harbour dan Tuas.

Sementara itu, bagi menambah baik ketersambungan jalan keretapi sedia ada, JMCIM berkata TLWG pada dasarnya bersetuju untuk meningkatkan kekerapan KTM Tebrau Shuttle kepada 36 perjalanan tren harian daripada 31.

JMCIM juga berkata kerja-kerja di Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura di kedua-dua belah pihak mencatatkan kemajuan yang baik.

Selaras dengan komitmen kedua-dua negara untuk menangani kesesakan di pusat pemeriksaan dengan lebih baik, JMCIM mengalu-alukan penambahbaikan Sistem Pelepasan Automatik Malaysia (MACS 2.0) sejak Januari 2023 dan rancangan Malaysia untuk membuka lorong tambahan di bawah program Penunggang Motosikal Warganegara Malaysia (MBIKE 2.0).

JMCIM juga mengalu-alukan pendekatan tiga serampang Singapura, yang terdiri daripada pengurusan trafik dinamik masa nyata, automasi dalam proses pemeriksaan, dan rancangan jangka panjang untuk membangunkan semula dan mengembangkan Pusat Pemeriksaan Woodlands bagi meningkatkan daya pengeluaran dan melancarkan pergerakan rentas sempadan orang dan barangan.

Terdahulu, kedua-dua menteri Rafizi dan Lee mengumumkan bahawa Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengkaji penubuhan zon ekonomi khas Johor-Singapura.

Menurut kenyataan bersama itu, langkah ini akan membantu pertumbuhan kukuh Johor dan pelaburan penting di rantau ini oleh Singapura.

Johor mencatatkan pelaburan asing bernilai RM70.6 bilion pada 2022 sahaja, merentasi pelbagai sektor, termasuk elektrik dan elektronik, peralatan perubatan, pembuatan makanan dan pusat data.

Singapura merupakan pelabur asing kedua terbesar Johor dan menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing Johor dalam sektor pembuatan, katanya.

Antara lain, JMCIM berkata, sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa berikutan pandemik COVID-19, Kumpulan Kerja Kerjasama Perindustrian (ICWG) telah terlibat dalam usaha menarik pelaburan terkumpul bernilai RM5.1 bilion, yang dijangka mewujudkan kira-kira 1,700 pekerjaan bergaji tinggi dan berkualiti di Iskandar Malaysia.

- Bernama