Skip to main
Logo Malaysiakini

Prof matematik calon PSM untuk kerusi Dengkil

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Parti Sosialis Malaysia mengumumkan calon kedua mereka bagi pilihan raya negeri di Selangor, seorang profesor matematik yang bertanding di N55 Dengkil.

Setiausaha Agung PSM Sivarajan Arumugam mengumumkan ketua PSM bahagian Dengkil, Darren Ong Chung Lee dipilih sebagai calon parti untuk bertanding di kerusi itu.

Pada sidang media awal hari ini, Ong berkata walaupun Selangor berstatus antara negeri terkaya di Malaysia, kemiskinan dan peminggiran tetap menjadi isu kepada rakyat.

"Ini adalah persoalan yang mesti kita bangkitkan dan atasi. Saya harap pengundi di Dengkil dapat memilih wakil rakyat yang terbaik untuk menyelesaikan masalah mereka.

"Walaupun PSM bukan parti yang besar, apa yang lebih penting ialah ia mempunyai prinsip. Dan prinsip PSM adalah mengutamakan rakyat yang tertindas," kata anak kelahiran Kuching itu yang menetap di Dengkil sejak 2016.

Sejak menyertai parti itu, Ong berkata dia terlibat dalam banyak isu alam sekitar yang diperjuangkan PSM termasuk menyelamatkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Pensyarah matematik di Universiti Xiamen Malaysia itu juga bertanggungjawab sebagai editor portal Inggeris PSM Thinkleft.net.

Ong berkata PSM telah terlibat dalam pelbagai isu akar umbi di Dengkil termasuk masalah perumahan, hak tanah untuk peneroka dan kebajikan pekerja kontrak.

“Bagi PSM, kuasa sebenar bukan datang daripada pemimpin atau kepimpinan peringkat tinggi, sebaliknya ia datang dari bawah di kalangan rakyat biasa.

“Inilah sebabnya saya bersama PSM dalam perjuangan ini,” katanya.

'Pilih PSM untuk undi berprinsip'

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan mendakwa pengundi sering dibiarkan memilih mudarat yang lebih kecil antara dua kemudaratan dan oleh itu Ong boleh menjadi pilihan ketiga buat mereka yang lebih berprinsip.

“Orang ramai mengundi kami kerana ketakutan, bukan kerana mereka suka atau percaya kepada seseorang calon.

"Oleh itu kami menawarkan pilihan ketiga dengan prinsip. Pengundi di Dengkil tidak perlu lagi berpuas hati dengan dua mudarat yang lebih kecil," katanya.

Terdapat 56 kerusi di DUN Selangor dan setakat ini hanya Muda dan PSM yang mengumumkan beberapa calon mereka menjelang penamaan rasmi pada 29 Julai ini.