Skip to main
Logo Malaysiakini

PANDUANKINI | Kenapa inflasi turun tapi kos sara hidup masih tinggi?

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Rakyat Malaysia merasai tekanan daripada kenaikan harga barang, dan kini ditambah dengan nilai ringgit yang semakin lemah, ramai yang berdepan cabaran dalam menguruskan kos sara hidup harian mereka.

Pun begitu, Bank Negara Malaysia melaporkan bahawa Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Mei 2023 turun kepada 2.8 peratus, daripada 3.4 peratus dua bulan sebelumnya.

Bagaimanapun, keadaan ini nampaknya tidak mencerminkan realiti sebenar kerana harga banyak barangan masih dilihat lebih tinggi berbanding harga sebelum ini.

Malaysiakini menyelami hubungan antara IHP dan kos sara hidup yang tinggi dalam Panduankini kali ini.

Pertama, apakah IHP?

IHP ialah salah satu cara untuk mengukur inflasi, dan ia kadangkala dikenali sebagai inflasi keseluruhan.

Ia mengukur perubahan bulanan dalam harga yang dibayar oleh pengguna, berdasarkan "bakul barangan dan perkhidmatan".

Inflasi keseluruhan berbeza daripada inflasi teras, yang tidak mengambil kira data harga makanan dan tenaga yang lebih tidak menentu.

Oleh itu, terdapat kemungkinan inflasi keseluruhan menurun walaupun inflasi teras meningkat.

Antara faktor yang boleh menjejaskan IHP termasuk kos bahan mentah, harga komoditi dan gangguan bekalan.

Apakah perbezaan IHP dan kos sara hidup?

Terdapat perbezaan antara kedua-duanya, menurut Bank Negara.

Kos sara hidup merujuk kepada jumlah perbelanjaan isi rumah, termasuk obligasi kewangan seperti pinjaman kereta dan perumahan untuk mengekalkan taraf hidup tertentu.

Sementara itu, IHP menjejaki perubahan harga untuk bakul tetap barangan dan perkhidmatan yang mewakili corak perbelanjaan purata dalam kalangan isi rumah.

Memandangkan perbelanjaan setiap isi rumah berbeza dan harga barangan boleh berbeza-beza merentas lokasi, IHP tidak menggambarkan perubahan dalam kos sara hidup individu.

Sebaliknya, IHP lebih merupakan petunjuk berguna untuk dasar makroekonomi yang menyasarkan ekonomi yang lebih luas.

IHP juga tidak mengambil kira pendapatan isi rumah, manakala kenaikan kos sara hidup juga mungkin dikaitkan dengan pendapatan yang tidak meningkat pada kadar yang sama dengan harga barang.

Jadi ada ketidaksalinghubungan antara IHP dan kos sara hidup. Tapi kenapa harga barang masih tinggi?

Penganalisis ekonomi berkata salah satu sebab yang boleh menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup adalah ringgit yang semakin lemah.

Selain itu adalah isu Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang baru-baru ini diputuskan Bank Negara untuk dikekalkan pada kadar tiga peratus.

OPR dinaikkan beberapa kali pada 2022 dan kali terakhir dinaikkan kepada tiga peratus pada awal Mei.

Bagaimanakah ringgit yang lemah jejaskan harga barangan dalam negara?

Pada masa ini, Malaysia amat bergantung kepada import untuk banyak barangan, dengan import makanan negara berjumlah RM482.8 bilion untuk 10 tahun lepas, setakat Disember 2022.

Ini jauh lebih tinggi berbanding jumlah eksport makanan Malaysia dalam tempoh sama yang berjumlah RM296 bilion, berdasarkan data Jabatan Perangkaan (DOSM).

Secara dasarnya, Ringgit yang lemah bermakna harga barangan import akan meningkat.

Peruncit berkemungkinan akan mengalihkan kenaikan harga tersebut kepada pengguna.

Bagaimana dengan OPR?

Seperti yang dijelaskan dalam Panduankini sebelum ini, OPR mewakili kadar faedah minimum yang dikenakan di kalangan bank untuk pinjaman antara bank.

OPR mempengaruhi kadar faedah jangka pendek, kadar simpanan tetap, kadar pertukaran asing, kadar faedah jangka panjang dan pelbagai pembolehubah ekonomi. Ini, seterusnya, akan menjejaskan perniagaan, pekerjaan dan harga barangan dan perkhidmatan.

Apabila OPR meningkat, bayaran balik pinjaman akan meningkat apabila bank mengalihkan kos pinjaman yang lebih tinggi kepada pelanggan melalui kadar faedah yang lebih tinggi. Sebagai alternatif, amaun bayaran balik boleh kekal sama tetapi tempoh bayaran balik ditambah.

Ini berlaku dalam pinjaman perumahan, kereta dan pinjaman peribadi.

Secara teknikalnya, OPR tidak memberi kesan langsung kepada kos barangan dan perkhidmatan harian untuk pengguna biasa.

Bagaimanapun, ia boleh mempunyai kesan tidak langsung seperti pemilik perniagaan kecil yang mengalihkan kos ditanggung mereka kepada pelanggan.

Kenapa kejatuhan ringgit berlaku?

Menurut ketua bersama penyelidikan makro serantau Kumpulan Perbankan Pelaburan Maybank, Chua Hak Bin, terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi nilai ringgit.

Salah satu daripadanya ialah Rizab Persekutuan AS telah menaikkan kadar faedahnya kepada 5.25 peratus manakala kadar Malaysia kekal pada tiga peratus.

“Lima peratus cukup menarik, jadi mengapa pelabur atau pengeksport perlu memisahkan wang mereka dalam mata wang ringgit? Jadi ia kurang memberi ruang dan itu boleh mengakibatkan ringgit lebih lemah,” kata Chua dalam temu bual dengan radio BFM baru-baru ini.

Ringgit juga dari segi sejarahnya berkait rapat dengan renminbi China dan momentum pertumbuhan China nampaknya semakin berkurangan, tambahnya.

Faktor lain yang mempengaruhi nilai ringgit termasuk eksport di Malaysia yang mula menguncup dalam beberapa bulan kebelakangan ini serta beberapa ketidakpastian berikutan pilihan raya negeri dan sama ada kerajaan sedia ada mempunyai ruang untuk melaksanakan reformasi fiskal, kata Chua.