Muda, PSM umum kerjasama dalam PRN
Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Muda mengumumkan mereka akan bekerjasama dalam PRN kali ini.
Dalam sidang media bersama hari ini, Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar berkata kedua-dua parti sudah setuju untuk tidak bertembung dalam kerusi DUN yang akan ditandingi.
"Kita tak akan bertindih dalam kerusi (yang ditandingi). Di kerusi yang ditandingi PSM, Muda tak akan bertanding dan sebaliknya.
"Ini hanya langkah pertama dan kami berharap dapat bekerjasama untuk membawa politik baru yang lebih bersih untuk negara," katanya.
Michael menegaskan kedua-dua parti ingin membawa perspektif baru dalam PRN, dengan tidak menggunakan taktik menakut-nakutkan dan menggunakan isu kaum demi laba politik.
Hari ini, PSM dan Muda juga menandatangani surat persetujuan kerjasama mereka.
Dalam pada itu, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kedua-dua parti akan memberi tumpuan kepada lima prinsip utama dalam PRN kali ini.
Katanya, Muda dan PSM memiliki visi bersama, iaitu melawan politik perkauman secara giat dan membangkitkan cabaran alam sekitar, serta mengangkat hak masyarakat terpinggir.
Selain itu, katanya, mereka juga akan memperjuangkan pembangunan negara yang seimbang dan terangkum serta menyokong demokrasi yang tulen.
"Menang atau kalah, saya harap kita boleh terus bekerjasama selepas PRN.
"Mungkin ada blok yang lebih besar yang akan anggap kami sebagai kumpulan kecil, tetapi idealisme kami besar dan semangat kami untuk mereformasikan Malaysia sangat tinggi," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai