Skip to main
Logo Malaysiakini

Konflik dalam Gerakan: Ini kali pertama saya dengar, kata naib presiden PAS

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dia tahu berkenaan konflik dalaman Gerakan, yang merupakan parti komponen PN, sama ada untuk terus kekal atau tidak dalam gabungan itu selepas PRN.

Namun Ahmad Samsuri menggesa semua parti komponen PN untuk menyokong gabungan itu menjelang pilihan raya di enam negeri nanti.

"Ini pertama kali saya dengar tentang perkara ini. Kepimpinan Gerakan belum maklumkan kepada kami.

"Tapi saya percaya setiap parti ada penyokong tegar masing-masing dan (setiap parti) ada peranan untuk ajak semua penyokongnya bersama-sama menyokong PN. Jika ada perkara (konflik) demikian, ia perkara biasa yang mesti diuruskan di peringkat parti.

"Dalam pilihan raya, kita mahu sokongan maksimum daripada penyokong (parti) masing-masing, dan paling penting sokongan dari orang awam, terutama pengundi muda," katanya ketika sidang media selepas acara Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 di Shah Alam, Selangor hari ini.

Hari ini, laporan Free Malaysia Today memetik sumber sebagai berkata akar umbi Gerakan kini berbelah bahagi sama ada untuk kekal dalam PN atau tidak.

Menurut sumber dalaman parti, ramai ahli Gerakan tidak senang dengan kenyataan yang dibuat PAS melibatkan orang bukan Islam dan bukan Melayu.

“Ahli-ahli yang tak berpuas hati tidak mahu parti ini dikaitkan dengan PAS,” kata sumber sambil menambah hubungan parti itu dengan PAS telah menyebabkan pengundi bukan Melayu menjauhi mereka.

Pada masa sama, sumber itu berkata ada ahli parti yang mahu terus bekerjasama dengan PAS atas sebab parti itu memiliki penyokong yang ramai.

Sumber lain yang dipetik laporan itu pula berkata, ahli Gerakan setuju parti itu tidak boleh kembali menjadi "kuasa ketiga" seperti ketika mereka keluar BN pada 2018, sebelum menyertai PN pada 2021.

Dia berkata pandangan Gerakan lebih mendapat perhatian dalam PN berbanding ketika bersama BN.

Terdahulu, Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan Lau Hoi Keong membayangkan kedudukan parti itu dalam PN boleh dinilai semula selepas PRN.

Lau yang akan bertanding untuk jawatan presiden dalam pemilihan parti berkata menjelang PRN, dia hanya akan menyokong pendirian untuk kekal dalam PN secara sementara.