Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemukiman PH-BN susun semula jentera PRN

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perhimpunan kira-kira 1,000 jentera Pakatan Harapan Selangor dan Umno Selangor di Shah Alam hari ini merupakan peluang kepada rakan kerjasama politik itu untuk menyelaraskan semula strategi pilihan raya mereka, kata menteri besar sementara Amirudin Shari.

Pengerusi PH Selangor itu berkata pemukiman sehari itu menyusuli beberapa acara besar bersama termasuk Jelajah Malaysia Madani yang diadakan di Banting baru-baru ini.

"Secara keseluruhannya kita telah berkumpul seharian di sini dan saya percaya ia akan menyusun dan melaraskan.

"Yang penting pelarasan dari segi gerak kerja pilihan raya, saya percaya sahabat saya daripada Barisan Nasional bergerak dan daripada Pakatan Harapan juga bergerak.

"Kali ini kita selaraskan pergerakan itu dan kita yakin dengan pelarasan ini kita akan mengumpulkan kekuatan," kata Amirudin pada sidang media selepas pemukiman itu.

Turut hadir, Pengerusi Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin (gambar, bawah), bersama pengarah program pemukiman timbalan ketua Umno negeri Johan Aziz dan timbalan pengerusi PH negeri Borhan Aman Shah.

Amirudin berkata Johan ditugaskan untuk mengendalikan jentera pilihan raya dan mereka membangkitkan lebih 30 soalan daripada peserta pemukiman berkaitan pelarasan semula gerak kerja.

"Masing-masing baru nak bergabung," kata naib presiden PKR itu menunjukkan kesedian dua gabungan itu untuk bekerja bersama-sama.

Selain itu, Amirudin berkata peserta pemukiman juga membincangkan manifesto bersama PH dan BN, yang dijangka diumumkan beberapa hari sebelum pencalonan rasmi pada 29 Julai.

"Sudah pasti Barisan Nasional mempunyai beberapa pendekatan dan kita (PH) juga menawarkan beberapa pendekatan.

"Dan itulah yang saya sebut tadi gambaran apabila kita combine tradisi dengan harapan baru yang akan mencipta satu gabungan yang mantap dan dapat menarik perhatian masyarakat dan rakyat majoriti di Selangor," katanya.

'Tiada logo baru'

Sambil menyelaraskan semula strategi mereka antara satu sama lain, Amirudin berkata kedua-dua PH dan BN akan mengekalkan logo gabungan masing-masing untuk semua enam pilihan raya negeri.

"Jadi untuk menciptanya (logo bersama) terlalu baru dalam masa enam atau tujuh bulan.

"Buat masa ini kita menumpu kepada mendapatkan kekuatan masing-masing yang kita kumpulkan.

"Sebelum nanti kita dapat wujudkan logo unity.

"Itu langkah-langkah ke depan tapi dengan pilihan raya sekarang ini, realitinya kita akan kekalkan dengan lambang BN dan lambang PH sebab masing-masing (penyokong) sudah tahu logo itu," katanya lagi.