Amanah Ikhtiar Malaysia istimewa di hati Anwar
Jasa dan sumbangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berkembang sejak 1987 tidak pernah dilupakan badan berkenaan, lebih-lebih lagi dalam membantu golongan wanita keluar daripada kepompong kemiskinan.
Mengimbau sejarah AIM di hadapan lebih 8,000 Sahabat Usahawan AIM Wilayah Kedah dan Pulau Pinang hari ini, Pemangku Pengerusi Lembaga AIM Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid berkata, Anwar menjadi antara individu terawal yang banyak membantu AIM ketika ia “mula-mula bertatih”.
“Ketika tiada mana-mana institusi kewangan pun yang sudi menerima kami. Hatta bank pun tidak sanggup bekerjasama dengan kami, atas alasan mampukah golongan kurang mampu ini membayar balik pembiayaan yang diberi.
Tetapi tuan-tuan dan sahabat-sahabat sekalian, Datuk Seri Anwar inilah yang sanggup menghulurkan tangan, mengambil inisiatif dalam penubuhan Tabung Ikhtiar bagi memastikan kejayaan penubuhan AIM,” katanya berucap pada Karnival Sahabat Usahawan AIM yang turut dihadiri Anwar.
Syed Hussian berkata, Anwar yang melancarkan Tabung Ikhtiar kemudian menggerakkannya sendiri dengan memohon sumbangan dan dana sama ada daripada orang perseorangan, mahupun syarikat korporat.
Katanya ia dilakukan sendiri Anwar tanpa ada sedikit pun rasa prejudis mengenai kemampuan golongan miskin untuk membayar balik pinjaman.
“Dengan dana dari Tabung Ikhtiar inilah AIM mengeluarkan pembiayaan kepada wanita-wanita yang dihimpit kemiskinan hidup. Wanita-wanita yang mahu keluar dari kepompong kemiskinan dan ibu-ibu yang mahu memastikan anak-anak mereka dapat bersekolah dengan baik.
“Melalui usaha Datuk Seri Anwar ini akhirnya wanita-wanita ini menjadi Sahabat AIM dan berupaya memulakan perniagaan kecil-kecilan untuk menjana pendapatan keluarga,” katanya.
Terdahulu Anwar dalam ucapan perasmiannya berkata, AIM amat istimewa di hatinya, sambil mengimbas kenangan pernah meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta kepada agensi itu pada 1990-an ketika menjadi Menteri Kewangan.
Sehubungan itu Syed Hussian berkata tiada siapa pun yang boleh menafikan bahawa dengan usaha Anwar, akhirnya AIM boleh berkembang dan mendapat banyak pengiktirafan.
“Sesungguhnya, pemimpin yang ada di hadapan kita ini telah mendedikasikan hidup beliau dalam usaha membasmi kemiskinan sejak dari zaman mahasiswa hinggalah ke hari ini. Tidak pernah luntur.
Perjuangan Datuk Seri Anwar untuk menoktahkan kemiskinan adalah konsisten sejak dari dahulu lagi. Dan penubuhan Amanah Ikhtiar Malaysia yang kita banggakan hari ini, adalah manifestasi, komitmen dan kesungguhan beliau dalam menoktahkan kemiskinan di negara ini,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai