Skip to main
Logo Malaysiakini

TikTok sanusi dipadam? K'jaan banyak kerja lain, bukan kami buat - Saifuddin

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan kerajaan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menyekat akaun TikTok.

Dia berkata demikian sebagai menafikan dakwaan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bahawa akaun TikTok miliknya dipadam pihak kerajaan.

“TikTok ni siapa punya? Bytedance.Ltd firma teknologi dari China.

“Untuk pengguna TikTok macam juga platform media sosial yang lain, ia tertakluk pantang larang yang boleh dan tak boleh.

“Kerajaan Malaysia ada kuasa ban akaun TikTok kita? Jawabnya tidak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu selepas akaun TikTok miliknya dipadam, Sanusi mendakwa Malaysia sedang bergerak menjadi seperti negara Korea Utara di bawah pemerintahan kerajaan perpaduan.

Menurutnya, ia akan menyebabkan pihaknya sukar untuk menjawab mengenai isu-isu semasa dan serangan dilemparkan pihak lawan Perikatan Nasional (PN).

“Buka TikTok tengok dah tak ada. Kita baru tengah popular kan, tapi itulah medan kita nak jawab habislah. Kita tak boleh masuk televisyen depa tak bagi, tak boleh masuk radio.

“Kita pakai TikTok dengan Facebook saja. Facebook budak-budak tak tengok dah sekarang mereka kata itu untuk orang tua,” katanya dalam satu rakaman video dimuat naik Twitter HakarahDaily, hari ini.

Sementara itu Saifuddin berkata, sekiranya TikTok menerima banyak laporan dan aduan oleh pengguna lain, maka syarikat tersebut akan sekat akaun yang menjadi pertikaian.

“Kiranya yang ban (sekat) TikTok kita ialah publik (pengguna media sosial) bukannya kerajaan. Publik buat aduan dan TikTok ban. Hari ini menteri besar Kedah kata content TikTok dia kena padam. Dia kata Malaysia dah jadi Korea Utara.

“Saya tentunya tak setuju sebab memang bukan kerajaan yang buat, kita pun banyak kerja lain,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menegaskan tiada arahan diterima untuk menghalang akses atau memadam kandungan akaun TikTok Menteri Besar Kedah itu.

MCMC memaklumkan pihaknya telah meneliti kenyataan Muhammad Sanusi yang menuduh kerajaan menghalang akses atau memadam kandungan akaun TikTok beliau.

“MCMC mengesahkan, tiada sebarang arahan diterima berhubung isu ini,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menurut MCMC, platform-platform media sosial mempunyai garis panduan komuniti yang menentukan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pengguna secara automatik apabila terdapat pelanggaran terhadap panduan tersebut, mahupun berdasarkan aduan orang ramai.

"Garis panduan komuniti sedemikian menetapkan jangkaan, mempromosikan keterangkuman dan mengurangkan kandungan memudaratkan atau yang berbaur jelik yang boleh mengganggu keharmonian dalam komuniti," menurut MCMC.