Chegubard pula buat laporan polis terhadap Anwar, setpol PM
Ahli jawatankuasa penerangan Bersatu Badrul Hisham Saharin telah membuat laporan balas terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan setiausaha politiknya Ahmad Farhan Fauzi.
Badrul yang juga dikenali sebagai Chegubard, mendakwa Anwar dan Farhan telah menyalahgunakan kedudukan mereka untuk menekan polis supaya menutup mulutnya.
Ini selepas laporan polis dibuat terhadap Badrul kerana memfitnah pada Khamis lalu.
Badrul telah membuat laporan kepada SPRM pada Selasa berhubung pemilikan kediaman peribadi perdana menteri di Kajang, Selangor.
Dakwanya, rumah di Sungai Long yang didiami Anwar itu milik seorang ahli perniagaan.
"Farhan ada cakap oh kita tak arah polis. Come on la! Kamu tu setiausaha politik, kamu tu (kakitangan) JPM.
“Kamu buat laporan polis di balai polis, itu satu tekanan kepada polis untuk bertindak.
"Kita counter report dengan beri semua detail kepada pihak polis supaya selain bidang kuasa SPRM, ada juga polis siasat perdana menteri," kata Badrul kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini.
Selain rumah Anwar, Badrul juga menuduh Anwar menggunakan beberapa kereta mewah yang bukan milik pengerusi Pakatan Harapan itu.
Ini termasuk Jaguar yang didakwa milik Yayasan Aman Bhd - yang mana Anwar merupakan pengasas dan penasihatnya - dan sebuah BMW yang didakwa dimiliki oleh seorang ahli perniagaan Selangor.
Pada 13 Julai, Farhan membuat laporan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia terhadap Badrul, bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan penulis blog Raggie Jessy Rithaudeen berhubung kenyataan mereka, mendakwa mereka telah memfitnah Anwar.
"Bukti yang menyangkal kuat dakwaan palsu itu akan diserahkan kepada polis dan menjadi sebahagian daripada siasatan," kata Farhan.
Peguam Anwar Sankara Nair, yang menemani Farhan (gambar, atas) ketika membuat laporan polis itu menjelaskan bahawa perdana menteri telah menandatangani pajakan 10 tahun pada 2020 untuk kediaman peribadi di Sungai Long manakala kereta mewah yang dipinjam sejak itu telah dipulangkan kepada pemiliknya.
Pun begitu, Badrul tetap menuduh pajakan rumah Anwar adalah "misteri", menegaskan pajakan untuk tempoh masa lama biasanya cuma dibuat untuk premis, hartanah perniagaan, ladang, kedai dan kilang, bukan rumah kediaman.
"Ini adalah untuk memastikan bahawa perisytiharan harta yang dibuat oleh perdana menteri dan kepimpinan kerajaan sekarang telus, benar dan bukan usaha untuk menyembunyikan harta secara proksi untuk mengelak rakyat mengetahui kekayaan mereka yang sebenar,” dakwanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai