Dana projek khas RM30 juta Belanjawan Kelantan 2023 didakwa meragukan
Pemuda PH dan BN Kelantan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat sejumlah peruntukan yang didakwa meragukan dalam Belanjawan Kelantan 2023.
Ketua Pemuda PH negeri Hazmi Hassan berkata pihaknya merujuk perkara yang didedahkan oleh akaun Facebook Mohd Zakri.
Menurutnya, peruntukan bernilai RM30 juta itu dinyatakan sebagai projek khas melalui belanjawan tahunan negeri ditadbir PAS itu.
“Kita tertanya-tanya adakah yang dimaksudkan ada satu peruntukan projek khas RM30 juta dinyatakan melalui Belanjawan Kelantan 2023 ini untuk kegunaan pilihan raya negeri (PRN)?
“Kerana pada kebiasaan belanjawan negeri dengan nilai yang besar akan dimaklumkan apakah kegunaan bajet tersebut.
"Tetapi ini agak berbeza apabila hanya dinyatakan projek khas dan kita tidak ketahui apakah perinciannya,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat SPRM Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Hazmi yang juga ketua pemuda Amanah Kelantan itu berkata pihaknya berharap SPRM melakukan siasatan susulan laporan dibuat itu sekali gus dapat mengetahui apakah projek khas dengan peruntukan sebesar itu.
RM1 juta setiap DUN?
“DUN Kelantan sudah pun dibubarkan pada bulan lepas untuk memberi laluan pilihan raya negeri (PRN) tetapi kerajaan negeri melalui menteri besarnya mengeluarkan kenyataan berhubung perkhidmatan bas percuma kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk pulang mengundi.
“Adakah RM30 juta ini bermaksud RM1 juta untuk satu DUN? Kerana apa yang kita boleh lihat hari ini sebelum masuk tempoh berkempen pun mereka (PAS) sudah kibarkan bendera dengan mewahnya.
“Adakah itu salah satu projek khas yang dimaksudkan dalam belanjawan tersebut?
"Jadi kami berharap SPRM menyiasat bagi mengelak peristiwa seperti berlaku di Kuala Terengganu yang akhirnya keputusan pilihan raya dibatalkan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai