Skip to main
Logo Malaysiakini

Hamzah bakal ketuai jawatankuasa khas masyarakat India PN - sumber

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainuddin dikatakan bakal mengetuai Jawatankuasa Khas Masyarakat India Perikatan Nasional (PN).

Beberapa sumber daripada gabungan PN bercakap mengenai perkara itu.

"Kami mengadakan mesyuarat pertama pada 13 Julai yang lalu. Mesyuarat itu mengambil keputusan Hamzah akan dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa itu.

"Sementara, bekas ketua pemuda MIC Selangor P Punithan akan dilantik sebagai timbalan pengerusi," kata satu sumber kepada Malaysiakini.

Bekas ketua pemuda MIC Selangor P Punithan.

Menurut sumber itu lagi, pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat selepas mendapat persetujuan mesyuarat majlis tertinggi PN yang akan diadakan esok.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bekas ketua naib presiden MIC C Sivarraajh akan mengetuai jawatankuasa khas itu.

Namun, bekas ahli parlimen Cameron Highlands itu berkata masih belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti mahu pun menubuhkan parti baru.

Komitmen PN kepada orang India

Untuk rekod, Sivarraajh (gambar, bawah) bertindak keluar dari MIC pada 27 Jun lalu, dua minggu selepas dia dilucutkan sebagai ahli jawatankuasa pusat parti itu.

Selang beberapa hari kemudian, Punithan juga mengumumkan keluar dari MIC.

Sementara itu, satu lagi sumber memberitahu jawatankuasa khas itu akan ditukar menjadi parti politik baru bagi masyarakat India selepas pilihan raya negeri (PRN).

"Pelantikan Hamzah itu hanya persediaan sementara. Selepas PRN, Punithan akan mengambil alih.

"Jawatankuasa itu akan ditukar sebagai parti politik.

“Ini merupakan komitmen PN kepada masyarakat India," katanya.