PSM pertaruh SU agung bertanding di Kota Damansara
Setiausaha Agung PSM Sivarajan Arumugam akan bertanding di Kota Damansara pada pilihan raya negeri akan datang, kata parti itu hari ini.
Ini cubaan kedua Sivarajan di kerusi itu yang dianggap penting bagi PSM selepas bergiat aktif hampir dua dekad di kawasan DUN dan parlimen.
Pada tahun 2004, ketika PSM mengadakan kerjasama dengan Pakatan Rakyat, bekas pengerusi PSM Nasir Hashim bertanding atas tiket PKR tetapi tidak berjaya merebut kerusi parlimen Subang - kini dikenali sebagai Sungai Buloh.
Empat tahun kemudian, pada 2008 Nasir (gambar, bawah) yang bertanding atas tiket PKR sekali lagi menang DUN Kota Damansara.
Bagaimanapun, Nasir hanya berkhidmat selama satu penggal.
Cubaan Nasir untuk dipilih semula pada 2013, sekali lagi atas tiketo PKR, digagalkan selepas PAS - yang ketika itu anggota Pakatan Rakyat - turut meletakkan calon parti itu di kerusi berkenaan.
Ini menyebabkan BN menawan kerusi itu pada pilihan raya itu.
Pada 2018, PKR, PAS dan PSM - masing-masing sudah berpisah - bertanding di Kota Damansara.
Pertarungan itu berakhir dengan kemenangan kepada Shatiri Mansor daripada PKR yang meraih lebih 61 peratus undi.
Calon PSM ketika itu, Sivarajan hanya memperoleh satu peratus undi menyebabkan dia kehilangan wang deposit.
PSM bekerjasama dengan Muda untuk pilihan raya negeri akan datang menentang gabungan PH-BN dan PN.
Tidak jelas siapa yang akan diturunkan oleh PH di Kota Damansara, kerana terdapat spekulasi bahawa PKR akan melepaskan kerusi itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai