Skip to main
Logo Malaysiakini

Lagi laporan polis terhadap Sanusi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Satu lagi laporan polis telah dibuat terhadap menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataan yang dibuatnya baru-baru ini yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Sebanyak 10 kumpulan daripada Gabungan NGO Tamil Malaysia dan pertubuhan di Selangor telah memfailkan laporan mereka terhadap Sanusi yang juga pengarah pilihan raya negeri PN, di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Naam Tamilar Malaysia dan penyelaras gabungan NGO-NGO Tamil Malaysia A Kalaimughilan berkata pihaknya menggesa polis untuk menyiasat Sanusi dan mengenakan pertuduhan terhadapnya di mahkamah.

"Sultan Selangor adalah ketua ataupun ikon rakyat Selangor.

"Kami sebagai warga Selangor tidak boleh menerima (orang) menghina sultan kami dengan kata-kata tidak bijaksana," katanya ketika dihubungi.

Baru-baru ini Sanusi didakwa menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila mengulas mengenai pelantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor.

Dalam rakaman ucapan itu - yang tular di media sosial - Sanusi membandingkan Sultan Kedah dan Selangor, selain menganggap Amirudin sebagai tokoh cokia (lekeh) untuk dijadikan menteri besar.

Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini bertitah bahawa isu kenyataan Sanusi yang didakwa menghina baginda belum selesai, menurut pejabat diraja.

Sultan Selangor bersama Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan.

“Baginda bertitah bahawa perkara ini masih belum selesai,” kata pejabat itu dalam kenyataan di media sosialnya petang ini.

Kenyataan itu juga mendedahkan Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan menghadap baginda di di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Pertemuan secara berasingan itu, kata pejabat diraja itu, membincangkan mengenai kenyataan Sanusi dalam ceramahnya di Selangor baru-baru ini, yang dianggap menghina institusi diraja Selangor.

Sementara itu, Kalaimughilan berkata pihaknya (gambar, bawah) akan membuat himpunan besar-besaran sekiranya tiada tindakan diambil terhadap Sanusi.

"Kami sedia untuk berhimpun di Stadium Shah Alam, jika tidak ada tindakan yang setimpal sebagai tanda memperluangkan rasa ketidak puashati terhadap Sanusi serta tanda mempertahankan Sultan Selangor.

"Polis harus meletakkan titik noktah untuk isu 3R.

“Negara Malaysia adalah negara majmuk tidak sepatutnya dibangkitkan isu-isu kaum dan agama," katanya.

Menurut Kalaimughilan lagi, pemimpin PN seperti Sanusi, presiden PAS Abdul Hadi Awang dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman untuk menarik perhatian pengundi Melayu.

"Mereka ini mahu polis mengambil tindakan terhadap mereka agar boleh mendapat undi simpati menjelang PRN," katanya.

Sanusi beberapa hari lepas memohon maaf kepada Sultan Selangor kerana berkata baginda memilih menteri besar “cokia (lekeh)”, ketika mengkritik rakan sejawatnya Amirudin Shari.

Sanusi bagaimanapun mendakwa kenyataannya diputar belit oleh musuh politik BN dan Pakatan Harapan (PH).