Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerusi milik rakyat - Syed Saddiq komen pertembungan Muda-PH

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan Pakatan Harapan supaya tidak terlalu leka dengan berfikir bahawa undi rakyat merupakan deposit tetap mereka dalam pilihan raya akan datang.

Syed Saddiq berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita mengenai sembilan dari sepuluh kerusi DUN yang bakal ditandingi Muda kini disandang PH.

"Kerusi ialah milik rakyat.

“Kebanyakan pemimpin kini terlalu selesa dan beranggapan tiada siapa boleh bertanding di kawasan berkenaan.

"Mereka beranggapan itu adalah kerusi selamat mereka dan tidak boleh dikacau.

“Itu tak adil," kata Syed Saddiq pada sidang media di ibu pejabat Muda di Petaling Jaya hari ini.

Syed Saddiq juga berkata moto Muda adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan membela mereka berbanding sekadar memainkan isu politik tanpa memikirkan rakyat.

Sementara itu, dia berkata Muda akan mengumumkan lebih ramai calon dalam beberapa hari akan datang menjelang hari penamaan calon bagi pilihan raya negeri yang dijadualkan pada 29 Julai.

Setakat hari ini, Muda telah mengumumkan 10 calon untuk diletakkan di tiga negeri berbeza.

Lapan daripada calon Muda akan bertanding di Selangor manakala masing-masing seorang calon akan bertanding di Pulau Pinang dan Terengganu.

Calon untuk Selangor terdiri daripada Setiausaha Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi bagi kerusi Seri Serdang, Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen (Batu Tiga), Thanusha Ramanieswaran (Sentosa), Melanie Ting (Bukit Antarabangsa), Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad (Dusun Tua), Siva Prakash Ramasamy (Kuala Kubu Bahru), Dobby Chew (Seri Setia) dan Afriena Shaqira Sariff (Sungai Kandis).

Di Pulau Pinang pula, Muda meletakkan calon Priyankaa Loh (Pantai Jerejak) manakala calon Terengganu ialah Pengarah Pilihan Raya Muda Luqman Long (Bandar).