Skip to main
Logo Malaysiakini

Ucapan palsu Lim dari 2009 tersebar semula menjelang PRN

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SEMAK FAKTA | Gambar poster, didakwa memaparkan petikan ucapan Pengerusi DAP Lim Guan Eng seperti yang dilaporkan oleh "akhbar berbahasa Cina" tersebar di WhatsApp.

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini mendapati ia berkemungkinan besar palsu dan dikesan berpunca daripada komen seorang blogger yang mendakwa sebagai ahli politik DAP, pada 2009.

Dalam imej yang tersebar ketika ini, Lim didakwa telah menyeru masyarakat Cina untuk "kuasai dan rebut apa yang Melayu tidak mampu" dan pastikan orang Melayu "terhutang budi" dengan orang Cina.

Ucapan palsu yang kononnya dilaporkan oleh "akhbar Cina" itu berkata ini adalah helah untuk memecahbelahkan orang Melayu dan "mengambil alih tampuk kepimpinan."

Petikan terawal teks yang sama di internet dikesan di blog Minda Intelek Melayu (MIM), pernah dikendalikan oleh bekas pemimpin Umno Pulau Pinang Dr Novandri Hassan Basri.

Catatan 'MIM' bertajuk 'Hasutan Kaum Paling Buruk' tidak lagi tersedia, tetapi petikan daripada blog itu telah dipetik dan dipautkan oleh blog 'Listed - Voices Around Blogmark'.

'Listed' mengumpulkan entri blog popular dalam blogosphere Malaysia, dan mengedarkannya di bahagian komen blog popular lain.

'Listed' menyatakan Dr Novandri telah menggunakan akaun 'LimGuanEngBlog' sebagai sumber maklumatnya, tetapi menyatakan bahawa kesahihan identiti 'LimGuanEngBlog' masih belum dapat disahkan.

'Blog Lim'

Maklumat ini sepadan dengan rujukan dalam blog lain dari era itu, yang mendakwa ucapan menghasut tersebut diambil daripada "blog Lim", dan bukannya "laporan akhbar Cina" seperti yang didakwa dalam imej WhatsApp yang sedang tular kini.

Semakan ke atas akhbar berbahasa Cina terkemuka menggunakan kata kunci daripada ucapan yang didakwa juga tidak menemui laporan sedemikian.

Malaysiakini juga menemui tangkap layar, diterbitkan pada sebuah blog pada 2011, menunjukkan bahawa seseorang dengan nama pengguna 'LimGuanEngBlog' menyiarkan kenyataan yang tepat - walaupun dengan ejaan yang salah - pada apa yang kelihatan seperti sebuah laman web Blogspot.

Pengguna, 'LimGuanEngBlog', telah mengendalikan blog yang dipanggil 'My Chief Minister Lim Guan Eng' yang diasaskan pada 2008, tetapi tidak lagi tersedia. Ia beroperasi selama beberapa tahun.

Ketika beroperasi, blog itu sering mengeluarkan kenyataan yang ditandatangani oleh 'Lim Guan Eng', dan disalah anggap ramai sebagai blog rasminya selama beberapa tahun, walaupun Lim mengekalkan laman webnya sendiri di limguaneng.com sejak Oktober 2008.

Hari ini, pengguna 'LimGuanEngBlog' hanya mempunyai akaun YouTube yang tidak aktif, yang mengandungi dua senarai video - kompilasi video rusuhan anti-Cina di Indonesia pada 1998 dan rakaman perdebatan Lim dengan bekas ketua menteri Pulau Pinang Koh Tsu Koon pada 2011.

Disebar semula lepas kontroversi baru-baru ini

Ini bukan kali pertama penipuan itu dihidupkan semula sejak 2009.

Pada 2011, petikan yang sama dikaitkan dengan Lim didapati tersebar di pelbagai kumpulan Facebook, termasuk satu yang dipanggil 'Anti-PKR Club'.

Imej sama yang tular mengaitkan "akhbar Cina" juga telah tersebar pada 2019, dan disangkal oleh laman Facebook 'Friends of DAP'.

Penipuan tular itu berkemungkinan beredar semula di media sosial hari ini di tengah-tengah kontroversi ucapan yang dibuat oleh Lim di Pulau Pinang awal bulan ini.

Akhbar berbahasa Cina pada mulanya melaporkan bahawa Lim memberi amaran bahawa fenomena "Gelombang Hijau", yang kebanyakannya digunakan untuk menggambarkan kemenangan PN di negeri-negeri Utara, akan "memusnahkan kuil Buddha".

Lim berkata media telah salah melaporkan ucapannya, dibuat dalam bahasa Mandarin, dan dia merujuk kepada perobohan kuil Hindu di Alor Setar, Kedah pada 2020.


MALAYSIAKINI menjadi sebahagian daripada pakatan pemeriksa fakta, JomCheck, yang terdiri daripada pertubuhan media, ahli akademik dan masyarakat sivil.

Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak fakta sesuatu dakwaan dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian di 017-477 6659 (WhatsApp saja) atau melalui pautan ini.