Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kenyataan PM kabinetnya bersih dari rasuah beri tanggapan salah'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mendakwa setiap menteri dalam pentadbirannya "bersih daripada rasuah".

Syed Saddiq mendakwa kenyataan itu membayangkan kes mahkamah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mungkin digugurkan selepas PRN pada 12 Ogos ini.

"Dengan kenyataan seumpama itu (daripada perdana menteri), ia beri persepsi salah, terutama apabila ada beberapa institusi di bawah bidang kuasa perdana menteri, termasuk Pejabat Peguam Negara (AGC) dan SPRM.

"Perdana menteri yang melantik peguam negara dan ketua pesuruhjaya SPRM, yang secara tidak langsung tunjukkan dia mengawal kedua-dua institusi itu bagi memastikan kes yang sedang berjalan boleh digugurkan.

"Sebagai presiden Muda, saya tak lihat kenyataan Anwar itu sebagai perkara kecil," katanya ketika sidang media di ibu pejabat Muda di Petaling Jaya, hari ini.

Berucap ketika Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Pulau Pinang di Seberang Jaya malam tadi, Anwar berkata semua menteri dipantau secara rapat oleh polis dan SPRM sejak lapan bulan lalu.

Dia dilaporkan berkata, tiada kes yang menunjukkan menteri telah mengambil wang rakyat dan itu merupakan satu rekod dalam sejarah politik negara.

Pada 10 April lalu, Zahid menghantar surat representasi kepada AGC untuk menggugurkan 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram terhadapnya.

Selain itu, Syed Saddiq berkata ramai yang menyuarakan kebimbangan yang kes rasuah berskala besar akan digugurkan selepas PRN.

"Bahkan keraguan itu memuncak apabila Anwar di khalayak umum di Pulau Pinang memaklumkan SPRM telah sahkan yang tiada mana-mana menterinya terpalit skandal rasuah," katanya.