Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS Kedah: Sanusi tak bersalah hingga terbukti sebaliknya

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PAS Kedah mengambil maklum menteri besar sementara Muhammad Sanusi Md Nor akan dihadapkan ke mahkamah pagi ini (Selasa, 18 Julai).

Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya berharap ahli parti itu memperbanyakkan doa serta munajat agar Sanusi sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT, juga mendapat keadilan yang selayaknya sepanjang proses undang-undang dilaksanakan.

"PAS Kedah berpegang pada prinsip ‘Innocent until proven guilty’ iaitu seseorang yang dihadapkan ke mahkamah tidak boleh lagi dianggap bersalah sehingga terbukti sebaliknya.

"Justeru, dalam situasi dihadapi Muhammad Sanusi, PAS Kedah sentiasa mendoakan yang terbaik untuk beliau dan mengharapkan proses perundangan akan dilaksanakan secara adil, berpegang teguh pada prinsip keadilan mengikut undang-undang serta bebas daripada sebarang cengkaman atau pengaruh politik.

Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya.

"PAS Kedah mengharapkan untuk semua ahli serta penyokong PAS bertenang, tidak dipengaruhi emosi dan sentiasa patuh pada undang-undang negara," katanya pada satu kenyataan malam tadi.

Terdahulu, Sanusi berkata dia masih belum menerima notis pendakwaan mahkamah sebagaimana yang dilaporkan.

"Saya belum dimaklumkan," katanya melalui pesanan teks ketika dihubungi Malaysiakini pada jam 7 petang semalam.

Pendakwaan terhadap pengarah pilihan raya PN itu dipercayai berkaitan kenyataan yang didakwa menghina institusi Kesultanan Selangor dalam memilih menteri besarnya.

Ini berdasarkan penyenaraian kes yang akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Selayang pada pukul 9 pagi esok, manakala sumber mengesahkan bahawa polis telah menyelesaikan siasatan mereka terhadap pemimpin PAS itu.

Menurut penyenaraian mahkamah, seorang dengan nama 'Muhammad Sanusi Bin Md Nor' akan didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Osman Affendi Mohd Shalleh dan Nor Rajiah Mat Zin masing-masing di Mahkamah Sesyen 1 dan 2 Selayang.

Dokumen itu, tersedia untuk orang ramai di laman web badan kehakiman, tidak menyatakan butiran mengenai pertuduhan atau jenis kes terhadap Sanusi.

BACA BERKAITAN:

Sanusi dijangka dihadapkan ke mahkamah esok

Isu Sanusi belum selesai, titah sultan Selangor

Sanusi: Saya belum dimaklumkan akan didakwa