Skip to main
Logo Malaysiakini

Susulan pendakwaan Sanusi, Muda dan PSM gesa mansuh Akta Hasutan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini menyuarakan gesaan agar Akta Hasutan 1948 dimansuhkan.

Gesaan itu dibuat menerusi kenyataan bersama Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pengerusi PSM Michael Jeyakumar Devaraj susulan pendakwaan Menteri Besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor di bawah akta itu.

"Pertamanya kami menolak kenyataan yang dibuat Sanusi, ianya amat tidak matang dan dangkal yang dibuat di atas pentas ceramah politik.

"Muda dan PSM menjunjung Perlembagaan Persekutuan yang menjadi batu asas kepada sistem demokrasi Malaysia.

"Bagaimanapun, kami menolak akan pengunaan Akta Hasutan ke atasnya serta menggesa untuk akta ini dimansuhkan.

“Sudah terdapat peruntukan lain untuk menguruskan isu-isu berbangkit yang berkait dengan perihal ini,” kata mereka.

Terdahulu Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN dihadapkan di Mahkamah Sesyen Selayang pagi tadi bagi menghadapi dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan.

Dakwaan itu dibuatnya dalam satu ceramah politik di Selayang, Selangor, minggu lepas.

Sanusi, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Di tengah kontroversi itu, Sanusi telah mengutus surat memohon maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan mendakwa kenyataannya diputar-belit.

Bagaimanapun semalam Sultan Sharafuddin menitahkan isu tersebut "belum selesai", bahkan menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang membuat laporan polis ke atas Sanusi.

Sementara itu, Syed Saddiq dan Jeyakumar turut mempersoalkan penahanan pemimpin PAS itu yang dilakukan sekitar jam tiga pagi tadi sedang dia boleh diarah untuk hadir sendiri ke balai polis.

"Kerajaan Madani hari ini yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) telah lama memperjuangkan untuk memansuhkan akta ini, malah ia tertulis dalam manifesto PH.

"Kita tidak boleh hanya menjadi idealis ketika dalam pembangkang, kemudian meninggalkan prinsip bila mendapat kuasa," kata mereka lagi.

Berkenaan waktu penahanan Sanusi, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata tindakan itu selepas beberapa panggilan telefon yang dibuat kepada Sanusi ditolak.