Fahmi soal Sanusi: Masa PN perintah ada kebebasan bersuara ke?
Pereka grafik Fahmi Reza menyindir Muhammad Sanusi Md Nor selepas menteri besar sementara Kedah itu mendakwa negara ini tidak lagi mengamalkan kebebasan bersuara.
Fahmi mengulas dakwaan Sanusi hari ini yang mendakwa kerajaan menggunakan agensi penguatkuasaan termasuk polis untuk menutup mulut pengkritiknya.
"Lepas kena dakwa kat mahkamah tadi kamu kata ‘Tiada kebebasan bersuara di Malaysia’. Cuma nak tanya, masa kerajaan Perikatan Nasional memerintah dahulu ada kebebasan bersuara ke?" katanya dalam hantaran di Facebook.
Fahmi mengingatkan Sanusi dalam tempoh enam bulan dari Mac hingga September 2021, dia ditahan polis di bawah Akta Hasutan dan dihendaki hadir ke balai sebanyak tujuh kali untuk disoal siasat.
Katanya, pada masa itu dia didakwa di mahkamah kerana menyiarkan poster satira yang mengkritik PAS.
"Tak malu ke, lepas dah kena tangkap dan kena dakwa bawah Akta Hasutan, baru sekarang kamu nak melalak pasal tiada kebebasan bersuara di Malaysia? Lawaklah," katanya.
Terdahulu, Sanusi mendakwa Malaysia tidak lagi mengamalkan kebebasan bersuara selepas dia dihadapkan dengan dua pertuduhan kerana mengeluarkan kenyataan "menghasut".
Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah Sesyen Selayang, Sanusi mendakwa pendakwaan terhadapnya jug membuktikan kerajaan ‘takut’.
“Nampaknya di Malaysia ini tak boleh cakap apa-apa.
“Kalau di medan politik, biasanya orang selesaikan masalah politik dengan memberikan hujah balas. Tetapi di Malaysia pada hari ini, kerana kita ada kerajaan yang takut, dia guna polis untuk tahan atau sekat ucapan kita.
“Semua agensi awam akan digunakan untuk menyekat perkembangan dan kehangatan (perbincangan) rakyat," katanya .
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai