Tiba di Alor Setar, lebih 1,000 penyokong sambut Sanusi seperti wira
Lebih seribu berkumpul di balai ketibaan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar, Kedah petang ini bagi menunjukkan sokongan terhadap Menteri Besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.
Mereka menyambut ketibaan Sanusi dari Kuala Lumpur setelah dihadapkan dengan dua pertuduhan bawah Akta Hasutan di Mahkamah Sesyen Selayang pagi tadi.
Video yang dimuat naik di media sosial memaparkan para penyokongnya melaungkan takbir sebaik ketibaan Sanusi sekitar jam 4.30 petang tadi.
Menurut Berita Harian, orang ramai mula berkumpul pada jam tiga petang.
Turut hadir adalah Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Mohd Hayati Othman, Exco Komunikasi dan Multimedia Wan Romani Wan Salim dan Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya.
Menurut laporan itu, Sanusi dan isterinya sempat berbual dengan penyokong sebelum beredar menuju kediaman rasmi di Seri Mentaloon.
Sanusi hari ini mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan.
Pada 11 Julai lalu di Selayang Sanusi menyampaikan ucapan - antara lain - mendakwa Yang di-Petuan Agong tidak menitahkan pembentukan kerajaan perpaduan.
Dia juga membandingkan peranan sultan dalam pelantikan menteri besar di Kedah serta Selangor.
Kedua-dua kes ditetapkan untuk prosiding praperbicaraan pada 4 Oktober ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai