Skip to main
Logo Malaysiakini

Imigresen tumpaskan satu lagi sindiket palsu dokumen tahun ini

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen untuk warga asing kesebelas untuk tahun ini.

Ia selepas seorang warga asing yang bertindak sendirian diberkas di rumahnya di Sentul, Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh mengidentifikasikan individu tersebut dan operasinya sebagai "Ayake".

Ruslin berkata Ayake beroperasi menerusi kumpulan WhatsApp untuk warga Bangladesh dan Myanmar dan berjaya meraih RM360,000 setahun sejak tiga tahun lalu.

Mereka yang mendapatkan khidmat Ayake kebanyakannya tinggal di Lembah Klang.

"Bayaran untuk dokumen palsu adalah RM1,000 untuk pasport Myanmar, RM700 untuk kad CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) dan RM200 untuk kad UNHCR, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), sijil perkahwinan Myanmar dan malah lesen memandu dari negara itu.

"Kami menemui RM26,000 wang tunai dalam Honda CRV miliknya dan dia sendiri memiliki pasport Myanmar palsu.

"Pasukan Taktikal Khas (Pastak) menyekat suspek dalam perjalanan ke Dataran Merdeka untuk menyerahkan pas PLKS palsu kepada pembeli," katanya.

Ruslin berkata pasukan itu bertindak terhadap suspek pada 13 Julai lalu selepas operasi pemantauan selama dua bulan.

"Operasiny yang secara solo memberi cabaran dalam mengesan kegiatan haramnya," katanya lagi.

Ruslin berkata sementara siasatan terhadap barangan yang dirampas masih di peringkat awal, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada pihak yang bersubahat dengan Ayake.

"Kami juga akan ambil tindakan tegas terhadap mereka yang membeli dokumen palsu ini," katanya lagi.

Imigresen merampas wang berjumlah RM27,500, satu pelekas PLKS dan empat pas PLKS, lapan pasport Myanmar palsu, dua kad CIDB palsu dan satu lesen memandu Myanmar palsu.

Suspek kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya dan disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.