Video perusuh arak wanita Manipur berbogel cetus kemarahan di India
GLOBAL | Video perusuh mengarak dua wanita dalam keadaan bogel di negeri timur laut Manipur yang dilanda keganasan mencetuskan kemarahan di India dan menarik tumpuan lebih lanjut mengenai konflik etnik di wilayah terpencil bersempadan dengan Myanmar.
Video itu menunjukkan wanita daripada sebuah kumpulan puak minoriti dianiaya oleh lelaki dari komuniti lain.
"Video ngeri serangan seksual dua wanita dari Manipur adalah boleh dikecam dan sama sekali tidak berperikemanusiaan," kata seorang menteri dalam kerajaan persekutuan, Smriti Irani pada Rabu.
Irani berkata Ketua Menteri Manipur N Biren Singh telah memaklumkan kepadanya bahawa siasatan sedang dijalankan untuk membawa pelaku ke muka pengadilan.
Serangan kumpulan perusuh itu dilaporkan berlaku di daerah Kangpokpi pada 4 Mei berikutan pertempuran antara masyarakat majoriti Meitei dan suku kaum lain.
"Laporan media berdasarkan video yang muncul dari Manipur didakwa menunjukkan sekumpulan lelaki Meitei menyerang dan mengarak dua wanita suku Kuki berbogel untuk merogol mereka secara beramai-ramai adalah peringatan mengejutkan tentang skala kekebalan yang berterusan di negeri ini," ciap Amnesty India.
"Agak marah menonton video dua wanita Kuki di Manipur. Kejadian ini berlaku pada Mei, tiada tangkapan. Ini bermakna lelaki ini bebas merayau,tidak peduli dan berani," kata seorang wartawan, Sarah Jacob, dalam ciapannya di Twitter.
Polis negeri Manipur pada Rabu berkata: "pihaknya sedang berusaha keras untuk menangkap pelaku kejadian secepat mungkin."
Kira-kira 150 orang telah terbunuh dan beratus-ratus cedera sejak 3 Mei, apabila keganasan mula tercetus berikutan langkah memberikan status keistimewaan puak kepada komuniti Meitei yang agak kaya, yang komunitinya membentuk lebih separuh daripada 3.2 juta penduduk negeri itu.
Tuntutan Meitei untuk dimasukkan di bawah kategori Suku Berjadual, yang akan memberi mereka manfaat pekerjaan dalam sektor kerajaan, pendidikan dan akses kepada tanah hutan, ditentang hebat oleh Kukis, Naga dan kumpulan puak lain, yang takut terpinggir.
Meitei sebahagian besarnya penganut Hindu dan dominan di Lembah Imphal manakala suku Kukis dan Naga kebanyakannya Kristian dan kebanyakannya mendiami kawasan berbukit yang kurang membangun.
Kira-kira 50,000 orang meninggalkan rumah mereka berikutan keganasan pada Mei apabila beribu-ribu rumah, perniagaan serta tempat ibadat dibakar.
Bagaimanapun, penempatan ramai anggota tentera dan separa tentera telah menyebabkan keadaan kembali tenang sementara ketegangan berterusan.
Perkhidmatan internet kekal ditutup di Manipur.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai