Skip to main
Logo Malaysiakini

Jenayah indeks di seluruh negara menurun - IGP

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sebanyak 16,518 daripada 25,482 kes jenayah indeks berjaya diselesaikan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, dengan peratus penyelesaian kes 64.8 peratus.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata peratusan berkenaan melebihi sasaran kadar penyelesaian kes yang ditetapkan iaitu sebanyak 45 peratus.

Beliau berkata daripada jumlah kes jenayah indeks itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatat penurunan jumlah kes 1.1 peratus bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding 25,774 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

"Sejumlah 56,677 kertas siasatan dibuka dari 1 Jan hingga 30 Jun tahun ini melibatkan jenayah indeks dan bukan indeks. Dalam tempoh tersebut juga, sejumlah 31,014 pertuduhan dicapai iaitu 54.72 peratus.

“Kita mengharungi cabaran enam bulan pertama 2023 dan kini memasuki enam bulan terakhir sebelum tiba ke penghujung tahun.

"Besarlah harapan saya agar momentum kecemerlangan PDRM akan terus dipertingkatkan dengan melakar lebih banyak episod kejayaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Bulan Julai 2023 anjuran Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman, di Kuala Lumpur hari ini.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, Razarudin berkata seluruh petugas PDRM sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk memberikan perkhidmatan di enam negeri terlibat iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

"Dalam kita melaksanakan tugas diamanahkan, kesihatan dan keselamatan diri juga perlu diberi keutamaan.

"Pucuk pimpinan pasukan akan berusaha untuk memastikan kebajikan petugas PDRM sepanjang PRN ini kekal terjaga.

"Petugas juga diingatkan agar sentiasa bersikap profesional dan rasional ketika menjalankan tugas di lapangan, serta bijak mengawal emosi ketika berhadapan dengan sebarang insiden provokasi," katanya.

- Bernama