IGP: Tiada kompromi pegawai, anggota 'pilih bulu' dalam siasatan
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kredibiliti, kecekapan dan kemahiran pegawai-pegawai polis harus diperkasa bagi memastikan kualiti pencegahan dan pembanterasan jenayah berada pada tahap tertinggi.
Beliau berkata ini kerana pemerhatian dan penilaian masyarakat terhadap pasukan itu berkisar kepada kebolehupayaan polis membendung jenayah, menyiasat, menangkap dan mendakwa penjenayah selain penguatkuasaan undang-undang dalam penyiasatan perlu dilaksanakan dengan sebijaknya.
Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang mengamalkan birokrasi dan ‘pilih bulu’ dalam menjalankan siasatan kes.
"Kualiti maklumat risikan jenayah menentukan hasil operasi dan untuk mendakwa pesalah di mahkamah.
"Justeru, kita harus memperkasakan kredibiliti, kecekapan dan kemahiran para pegawai bagi memastikan kualiti crime prevention (pencegahan jenayah) dan crime suppression (pembanterasan jenayah) adalah pada tahap tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Bulan Julai 2023 anjuran Jabatan Siasatan Jenaya) di Bukit Aman, di Bukit Aman hari ini.
Sementara itu, Razarudin menetapkan dua fokus utama perlu digerakkan secara keseluruhan yang memerlukan pelaksanaan agresif dan pemantauan berterusan di setiap peringkat pasukan dalam memberikan perkhidmatan kepolisan terbaik agar PDRM kekal mendapat kepercayaan masyarakat.
"Fokus pertama adalah perkhidmatan PDRM bertunjangkan integriti dan tata kelola yang baik manakala fokus kedua adalah mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat," katanya.
Beliau berkata aspek integriti kekal menjadi keutamaan dan asas yang perlu menjadi budaya seluruh warga pasukan PDRM kerana integriti utuh akan menjadi benteng daripada terjebak melakukan kemungkaran, sekali gus dapat mengecilkan dan menutup segala ruang melakukan rasuah.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai