Skip to main
Logo Malaysiakini

Fahmi: K'jaan baru bayar hutang Felda tahun ini

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Hutang Felda kepada pelbagai pemiutang hanya dibayar oleh kerajaan persekutuan tahun ini, dua tahun selepas agensi bermasalah itu melupuskan hutang peneroka Felda.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pentadbiran Muhyiddin Yassin telah menjanjikan pelupusan itu pada 2021 dan Felda memberikannya tahun yang sama.

Bagaimanapun, hanya pada bulan lepas Putrajaya sebenarnya mengatur dana yang diperlukan untuk membolehkan pelupusan hutang peneroka itu.

"Hutang Felda tidak dibayar oleh kerajaan persekutuan sehingga 26 Jun 2023," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini terlibat dalam perang mulut mengenai usaha siapa yang membolehkan pelupusan hutang RM8.3 bilion untuk peneroka Felda.

Skim itu dijanjikan oleh Muhyiddin pada 2021 tetapi Anwar berhujah bahawa ia hanya menjadi kenyataan pada tahun ini kerana dia telah mengatur dana untuk menyelesaikan masalah hutang Felda.

Bagaimanapun, Muhyiddin berhujah bahawa kedua-dua perkara itu tidak berkaitan menyebabkan Anwar memberikan dua dokumen yang didakwanya akan menunjukkan sebaliknya - perjanjian Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA) dan surat terbitan sukuk.

Di bawah FSRA, Felda akan menerima geran RM990 juta setahun selama 10 tahun berjumlah RM9.9 bilion.

Felda, dalam satu kenyataan semalam, berhujah bahawa tidak ada percanggahan antara apa yang dijanjikan Muhyiddin dan apa yang kemudiannya dinyatakan oleh Anwar.

Felda memaklumkan penghapusan sejumlah hutang peneroka dilaksanakan di peringkat agensi itu telah dibuat tanpa penyaluran peruntukan geran daripada Kerajaan Persekutuan pada 2021 serta 2022.

Bagaimanapun perkara ini, kata Felda telah memberikan impak besar kepada aliran tunai serta prestasinya.