Skip to main
Logo Malaysiakini

Saifuddin nafi dakwaan nak batal kemenangan Rafizi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan bahawa dia telah meminta Hamzah Zainuddin yang ketika itu menteri dalam negeri untuk membatalkan keputusan pemilihan pucuk pimpinan PKR tahun lepas.

Menteri dalam negeri berkata dia memang pernah bertemu Hamzah beberapa kali pada tahun lepas atas dasar pertemuan jawatan kuasa memorandum persefahaman (MOU) antara pembangkang dan wakil kerajaan bawah pentadbiran perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Saifuddin menjelaskan dakwaan bahawa dia telah meminta keputusan pemilihan PKR tidak sah adalah sekadar "kenyataan politik" Hamzah semata-mata.

Sebaliknya, Saifuddin berkata jika dia mahu membatalkan keputusan pemilihan parti itu dia boleh melakukannya dalam dua jawapannya kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS), apabila ia mengeluarkan dua surat tunjuk sebab kepada parti.

"Saya telah jawab dua kali. Jika saya mau parti ini di batalkan saya tak payah jawab.

“Maka saya tak perlu jumpa menteri kalau saya nak batal parti. Itu cerita dia (Hamzah)," kata Saifuddin kepada pemberita pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Surat-surat itu dikeluarkan selepas ROS menerima aduan daripada ahli parti mengenai pemilihan itu.

Saifuddin berkata sebagai setiausaha agung PKR, dia telah membalas surat tersebut dalam tempoh dua minggu atau berisiko menyebabkan parti itu dibatalkan pendaftarannya.

"Jadi kami address satu-satu perkara yang telah disebut dalam surat ROS kepada parti.

“Jadi kalau nak dikatakan saya kalah dengan Rafizi, kemudian nak minta parti batal, jadi saya tak payah jawab surat.

"Semudah itu saja pada waktu itu," said Saifuddin.

Semasa pemilihan kepimpinan PKR pada Mei tahun lalu, Rafizi menang pertandingan timbalan presiden, menewaskan Saifuddin.

Pada perhimpunan Perikatan Nasional di Alor Setar malam tadi, Hamzah mendakwa seminggu selepas keputusan pemilihan PKR diumumkan, Saifuddin telah datang bertemunya.

"Saifuddin jangan lupa, selepas kalah hang mari jumpa (saya), hang bawa surat (minta) 'tolong batalkan (keputusan) pemilihan PKR.

"Surat ada dengan saya, jangan main-main," katanya.