Skip to main
Logo Malaysiakini

Khutbah Jumaat S'gor ingatkan jangan sentuh 3R, fitnah ketika PRN

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Khutbah Jumaat Selangor hari ini memberi peringatan agar isu 3R khususnya institusi diraja serta amalan memfitnah dihindarkan dalam kempen PRN kali ini.

Mimbar berkata, undang-undang memperuntukkan kesalahan bagi mereka yang melakukan fitnah, menghina institusi diraja serta mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, antaranya di bawah Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Oleh itu, mimbar mengingatkan umat Islam agar berhati-hati dalam apa yang diperkatakan dan jangan sampai menjadi bak kata pepatah Melayu, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.

"Sepanjang tempoh PRN, semua calon dan penyokong diingatkan bahawa tempoh berkempen bukanlah lesen untuk mengumpat, mencela, mencerca, menghina dan memfitnah orang lain dengan sebebasnya.

"Ingatlah hukum-hakam Allah SWT akan tetap berjalan dalam keadaan apapun, dan tiada sebab yang boleh menghalalkannya," menurut teks khutbah Jumaat bertajuk 'Dosa Mengumpat dan Mencaci' yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Khutbah itu susulan pendakwaan menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Noor di bawah Akta Hasutan pada Isnin lalu.

Sanusi berdepan dua tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politik.

Muhammad Sanusi dalam video ucapannya yang tular dikatakan menghina Sultan Selangor ketika membandingkan urusan pelantikannya sebagai menteri besar Kedah dan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor.

Di tengah kontroversi itu, Sanusi telah mengutus surat memohon maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan mendakwa kenyataannya diputar-belit.

Bagaimanapun dua hari kemudian Sultan Sharafuddin menitahkan isu tersebut "belum selesai", bahkan menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang membuat laporan polis ke atas Sanusi.

Sementara itu mimbar Jumaat turut berpesan agar para calon serta penyokong yang berkempen tidak memburukan mana-mana pihak lain sepanjang kempen.

"Berkempen dan berceramahlah dengan berhemah dengan menggariskan polisi-polisi yang akan dibawa untuk membantu rakyat mengatasi segala permasalahan yang dihadapi mereka.

"Calon-calon perlu menilai keupayaan dan prestasi diri masing-masing sepanjang perkhidmatan kepada rakyat dan seharusnya memikirkan bagaimana untuk memperbaiki ekonomi dan keharmonian masyarakat di bawah pimpinan mereka," jelas mimbar lagi.