Marzuki: Macam mana Muhyiddin nak sedia geran Felda, dia dah berhenti 2021
Bekas ketua setiausaha sulit kepada Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad berkata bekas perdana menteri itu tidak sempat menyediakan geran tahunan kepada Felda selepas melupuskan hutang peneroka.
Ini kerana Muhyiddin telah meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2021, jelasnya.
Kata Marzuki, pelupusan hutang peneroka selesai pada tahun 2021 namun geran tahunan kepada Felda paling awal bermula 2022 dan ketika itu Muhyiddin tidak lagi memegang jawatan sebagai perdana menteri.
"Mereka kata Tan Sri Muhyiddin tak tandatangan geran untuk Felda sebanyak RM990 juta setahun. Itulah kesilapan Muhyiddin. Lupus hutang peneroka tapi tak bagi duit kepada Felda.
"Mereka ni lupa kot. Selesai lupus hutang tahun 2021. Maka geran tahunan kepada Felda paling awal pun bermula tahun 2022.
"Muhyiddin terpaksa berhenti tahun 2021 sebab digoncang oleh puak-puak depa.
"Macam mana Muhyiddin nak sediakan geran tahunan kepada Felda untuk tahun 2022, 2023, 2024 dan seterusnya kalau dia dah berhenti tahun 2021?," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Marzuki menjawab kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Felda, Shabery Chik yang mendakwa Muhyiddin tidak menyelesaikan hutang peneroka Felda.
Terdahulu hari ini, Fahmi menjelaskan hutang Felda kepada pelbagai pemiutang hanya dibayar oleh kerajaan persekutuan tahun ini, dua tahun selepas agensi bermasalah itu melupuskan hutang peneroka Felda.
Katanya, pentadbiran Muhyiddin telah menjanjikan pelupusan itu pada 2021 dan Felda memberikannya tahun yang sama.
Bagaimanapun, hanya pada bulan lepas Putrajaya sebenarnya mengatur dana yang diperlukan untuk membolehkan pelupusan hutang peneroka itu.
Muhyiddin dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini terlibat dalam perang mulut mengenai usaha siapa yang membolehkan pelupusan hutang RM8.3 bilion untuk peneroka Felda.
Muhyiddin menteri kewangan ke?
Skim itu dijanjikan oleh Muhyiddin pada 2021 tetapi Anwar berhujah bahawa ia hanya menjadi kenyataan pada tahun ini kerana dia telah mengatur dana untuk menyelesaikan masalah hutang Felda.
Bagaimanapun, Muhyiddin berhujah bahawa kedua-dua perkara itu tidak berkaitan menyebabkan Anwar memberikan dua dokumen yang didakwanya akan menunjukkan sebaliknya - perjanjian Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA) dan surat terbitan sukuk.
Marzuki yang mempertahankan bekas bosnya itu mengingatkan bahawa Muhyiddin tidak memegang jawatan portfolio menteri kewangan.
"Yang nak sediakan geran tahunan kepada Felda ni Kementerian Kewangan.
“Muhyiddin menteri kewangan ke?
"Perdana menteri tak ada kuasa untuk buat apa-apa perkara yang berada di bawah bidang kuasa menteri kewangan apatah lagi nak tandatangan dokumen yang sepatutnya menteri kewangan tandatangan.
"Jadi, sesiapa saja yang jadi menteri kewangan pada masa yang berkenaan mesti sediakan geran tahunan kepada Felda kerana itu adalah komitmen kerajaan bukan komitmen peribadi," kata Marzuki lagi.
Felda dalam satu kenyataan semalam menjelaskan tidak ada percanggahan antara apa yang dijanjikan Muhyiddin dan apa yang kemudiannya dinyatakan oleh Anwar.
Felda memaklumkan penghapusan sejumlah hutang peneroka dilaksanakan di peringkat agensi itu telah dibuat tanpa penyaluran peruntukan geran daripada Kerajaan Persekutuan pada 2021 serta 2022.
Bagaimanapun perkara ini, kata Felda telah memberikan impak besar kepada aliran tunai serta prestasinya
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai