Skip to main
Logo Malaysiakini

Semak fakta: Dua-dua pihak pun betul mengenai eksport Kedah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ketika pilihan raya negeri untuk beberapa negeri semakin hampir, prestasi ketua eksekutif kerajaan negeri menjadi tumpuan dan menjadi modal untuk kempen politik.

Salah satu isu yang menjadi perhatian ialah hasil eksport negeri.

Di TikTok, pentadbiran kerajaan Kedah di bawah kepimpinan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dipuji kerana menjadi salah satu negeri dalam kalangan lima negeri pengeksport terbaik, yang telah meningkatkan hasil eksportnya.

"Itu yang berebut nak tu. Kot boleh claim nama dua tahun lagi," menurut kapsyen pada video yang kini turut tular di platform media sosial lain.

Imej latar yang menunjukkan statistik eksport bagi bulan April, merupakan poster digital yang dikeluarkan Urus Setia Penerangan Darul Aman daripada penerangan negeri.

Sebagai respons. pengkritik Sanusi memaparkan statistik lain yang menunjukkan Kedah bukan berada dalam senarai lima negeri teratas yang mempunyai eksport terbanyak.

Penyokong Sanusi tunjuk data April, pengkritik pamer data Mei

Semakan oleh Malaysiakini mendapati kedua-dua pihak berkongsi statistik yang tepat, tetapi memilih data yang hanya sesuai dengan naratif yang dijaja mereka.

Penyokong Sanusi mempamerkan angka pada April, yang memang menunjukkan Kedah berada di kedudukan kelima, dan telah berjaya meningkatkan eksport sebanyak 2.1 peratus tahun ke tahun.

Dalam kalangan lima negeri terbaik, Kedah merupakan satu-satunya negeri yang meningkatkan hasil eksport berbanding April 2022.

Empat negeri lain - Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Sarawak - mengalami penguncupan tahun ke tahun dari segi hasil eksport.

Data itu juga menunjukkan selain Kedah, Negeri Sembilan juga merupakan negeri yang hasil eksportnya meningkat tahun ke tahun.

Sebaliknya, pengkritik Sanusi memetik statistik pada Mei, yang menunjukkan Kedah tidak berada dalam senarai lima pengeksport teratas.

Pada bulan Mei, Pulau Pinang mengekalkan kedudukan teratasnya dalam senarai eksport, walaupun terus mengalami penguncupan bulan ke bulan.

Sementara itu Kedah meningkatkan eksportnya sebanyak RM5.4 bilion tahun ke tahun, tetapi tidak mampu mengatasi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk tempat kelima.

Untuk makluman, kedua-dua pihak menunjukkan bulan dari mana angka tersebut diambil.

Statistik Mei, yang dikeluarkan pada 28 Jun, adalah yang terbaru dikeluarkan oleh DOSM, dan menunjukkan Malaysia mengalami penguncupan keseluruhan eksport tahun ke tahun.

Kebanyakan negeri, termasuk Kedah, mengembangkan eksportnya antara 2021 dan 2022.

Sanusi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah pada Mei 2020.

Malaysiakini adalah sebahagian daripada pemeriksa fakta Malaysia JomCheck.

Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak fakta dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian tip 017-477 6659 atau melalui pautan ini.