Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN: PKR umum 58 calon, kekalkan MB Selangor, N Sembilan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PKR hari ini mengumumkan seramai 58 calon daripada parti itu akan bertanding bagi pilihan raya negeri (PRN) di kesemua enam negeri pada 12 Ogos depan.

Pengumuman itu dibuat Presiden PKR, Anwar Ibrahim di Laman MBSA, Shah Alam.

PKR meletakkan seramai 20 calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diikuti Pulau Pinang (13), Kedah (10), Negeri Sembilan (6), Kelantan (6) dan Terengganu (3).

Turut diumumkan, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari akan mempertahankan kerusi yang disandangnya di Dun Sungai Tua.

Anwar turut memaklumkan kedudukan Aminuddin Harun sebagai calon menteri besar Negeri Sembilan akan dibincangkan sekiranya gabungan PH dan BN memenangi PRN akan datang.

Anwar berkata, cadangan mengekalkan Aminuddin sebagai MB juga sudah dibincangkan bersama Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.

“Wajar kita pertahankan beliau selaku Menteri Besar. Saudara Aminudin lebih banyak kerja dan usahanya dalam program-program rakyat.

“Tidak ada ruang untuk orang menyatakan menteri besar ini sukar ditemui atau tidak disantuni,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, PKR turut menyambut baik keputusan DAP untuk mencalonkan semula Chow Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua.

“PKR menyambut baik keputusan itu kerana prestasi beliau mengangkat dan menjamin kemajuan pertumbuhan negeri Pulau Pinang dan cara dia menyantuni rakyat semua kaum termasuk orang-orang Melayu.

“Berbeza dengan pandangan kita dengar yang cuba mencerca dan menghina DAP. Kita lihat watak dan ketokohan Chow seorang yang prihatin dan sentiasa bekerja untuk orang Cina, Melayu, India di Pulau Pinang,” katanya.

Di Terengganu, Anwar berkata, bekas pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) parlimen Kuala Terengganu, yang akan diadakan serentak pada 12 Ogos ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos, penamaan calon pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.